KUALA LUMPUR – Kesedaran orang awam untuk mendaftar program vaksinasi Covid-19 masih kurang.
Malah, masih terdapat dalam kalangan orang ramai yang tidak mengetahui langkah-langkah untuk mendaftarkan diri bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Bahkan, menurut Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, ada dalam kalangan mereka tidak ada kemudahan untuk mengisi melalui aplikasi MySejahtera.
“Realitinya apabila kita buka kaunter pendaftaran seperti ini di pasar malam dan juga tempat awam masih ramai masyarakat kita yang kurang mempunyai kesedaran.
“Sebab itu Pergerakan Pemuda dan Puteri sepakat mengambil inisiatif untuk menggerakkan kempen Jom Daftar Vaksin di seluruh negara bagi membantu mereka yang memerlukan pencerahan dalam proses pendaftaran vaksin ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Jom Daftar Vaksin Parlimen Setiawangsa di pasar malam Tasik Sri Rampai hari ini.
Asyraf turut meluangkan masa selama 30 minit mengedarkan ‘flyers’ kempen berkenaan bersama-sama Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan kepada orang ramai dan juga peniaga di pasar berkenaan.
Mengulas lanjut, Asyraf berkata, kempen kesedaran itu akan diperluaskan ke-191 bahagian di seluruh negara.
“Kita pilih Setiawangsa sebagai destinasi pertama untuk dilancarkan sebelum diperluas di seluruh bahagian.
“Selain daripada edarkan ‘flyers’ dan ajar serta bantu mereka mendaftar, kita turut sediakan speaker’s corner yang menampilkan doktor-doktor muda untuk mereka berikan penjelasan dan menjawab jika ada persoalan-persoalan dari orang ramai.
“Kempen ini bagi membantu kerajaan untuk terus menggalakkan rakyat mempunyai kesedaran dan tampil bersama-sama untuk program vaksinasi ini,” ujarnya.
Sementara itu, Zahida berkata, dua kaunter dibuka hari ini di lokasi berbeza bagi membantu orang ramai mendaftar pengambilan vaksinasi.
“Tidak sampai dua jam sudah lebih 300 individu mendaftar.
“Ini bermakna ramai tidak tahu cara-cara yang betul, selain mereka yang berumur tidak mempunyai aplikasi MySejahtera,” katanya.
Untuk rekod, seramai 399,525 orang telah menerima vaksin setakat semalam.- Malaysia Gazette