Home Sukan Penyokong bola janji patuh SOP di stadium

Penyokong bola janji patuh SOP di stadium

Sebahagian penyokong Harimau Malaya dilontar dengan saur ketika menyaksikan perlawanan Malaysia dan Indonesia pada kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 19 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Penyokong-penyokong bola sepak tempatan berjanji tidak akan mensia-siakan peluang yang diberikan oleh pihak kerajaan atas kelulusan membenarkan penonton masuk ke stadium dengan mengikuti segala Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan teliti.

Menurut wakil penyokong kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Isfarihin Johari, penantian mereka selama setahun berakhir jua untuk hadir ke stadium sejak Liga Malaysia ditangguhkan pada 16 Mac 2020 dan mengharapkan kerjasama daripada penyokong lain agar memberi contoh terbaik bagi memastikan tiada perkara tidak diingini berlaku.

Memandangkan pertembungan antara JDT dan Melaka United FC pada 2 April ini akan menjadi salah satu projek perintis bagi perlawanan kemasukan penonton, dia yang juga wakil Boys Of Straits (B.O.S) percaya penyokong-penyokong yang akan hadir ke Stadium Sultan Ibrahim itu tiada masalah untuk mematuhi segala peraturan dan SOP yang ketat bagi memastikan proses percubaan kemasukan penonton itu berjaya.

“Pertama sekali selepas setahun kami tidak dapat datang ke stadium, akhirnya kami berasa sangat gembira dan hati rasa lapang apabila mendengar berita yang diumumkan oleh pihak kerajaan kelmarin.

“Sebelum ini, kami pernah memenangi Anugerah Penyokong Terbaik ABK (Anugerah Bolasepak Kebangsaan), dan dengan gelaran itu, kami akan terus membuktikan untuk beri contoh terbaik sepanjang penilaian ini dibuat, sekali gus dapat dijadikan sebagai penanda aras untuk setiap stadium lain diberi peluang menerima kembali penyokong untuk sama-sama memeriahkan Liga Malaysia.

“Yang paling dirindui semestinya keriangan di hari perlawanan itu sendiri bermula di perkarangan stadium selain sorakan tanpa henti kami sebagai pemain ke-12 untuk pasukan kesayangan dan itulah yang amat dinanti-nantikan”, katanya kepada Liga Bola Sepak Malaysia di sini.

Selain itu, perlawanan Kuala Lumpur City FC menentang Sabah FC pada 3 April ini juga akan menjadi perlawanan simulasi bagi mendapatkan kelulusan kelab membenarkan penonton ke stadium melalui proses penilaian MFL di mana venue tersebut layak jika segala kriteria itu lengkap berdasarkan syarat ditetapkan.

Salah seorang penyokong Kuala Lumpur, Khairul Nizam Arifin menyifatkan SOP kemasukan penonton ini tidak boleh diambil mudah bagi memastikan tiada kesilapan berlaku dalam kalangan penyokong sehingga boleh menyebabkan kelulusan ini ditarik semula.

“Mesti la kami gembira dengan keputusan ini, tetapi kita sebagai penyokong tetap kena berwaspada kerana pada tahun lepas, semua rakyat kena berkurung, namun kali ini kita dapat juga kembali ke stadium untuk tengok perlawanan.

“Dalam kita gembira dapat kembali ke stadium, kita tetap perlu sedar yang kita masih belum menang melawan virus ini kerana satu kesilapan kecil boleh buat industri sukan itu ditutup kembali.

“Saya yakin penyokong Kuala Lumpur juga nanti akan tunjukkan contoh baik kepada semua penyokong lain tentang macam mana nak ikut SOP dan kalau nak ikutkan selama ini pun kami sentiasa menjaga tingkah laku setiap kali ke stadium,” jelasnya.

Sebagai rekod, formula jumlah kemasukan penonton bergantung kepada lapisan peringkat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

PKP Pemulihan (PKPP) menyaksikan sebanyak 25 peratus atau 8,000 penonton daripada kapasiti tempat duduk penonton atau tertakluk kepada kebenaran penganjur manakala PKP Bersyarat (PKPB) pula adalah sebanyak 10 peratus atau maksima 2,000 penonton dibenarkan. – MalaysiaGazette