Home Politik UMNO Perlis akan terus bersama kepimpinan pusat – Shahidan

UMNO Perlis akan terus bersama kepimpinan pusat – Shahidan

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim di perjumpaan ketua-ketua parti dalam Perikatan Nasional di Hotel Hilton, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 01 NOVEMBER 2020 -

KANGAR – UMNO Perlis akan terus setia bersama dengan pusat dan tidak pernah bercadang untuk  memutuskan hubungan dengan kepimpinan pusat, kata pengerusinya Datuk Seri Shahidan Kassim.

Katanya beliau tidak mempunyai masalah dengan pucuk pimpinan parti malah mempunyai hubungan akrab dengan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan akan terus setia bersama dengan UMNO pusat.

“Kami (UMNO Perlis)  akan terus berpegang dengan keputusan Majlis Tertinggi UMNO sebelum ini iaitu tidak membentuk sebarang kerjasama politik dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Semalam, media melaporkan UMNO Perlis akan memutuskan hubungan dengan kepimpinan pusat sekiranya mereka kekal dengan pendirian mengakhiri kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 yang dijadualkan akhir bulan ini.

Sementara itu, Shahidan, yang juga Ahli Parlimen Arau, berkata UMNO Perlis terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan tidak akan melanggar perjanjian yang dibuat oleh UMNO ketika penubuhan kerajaan PN dahulu.

“Saya menyokong kerajaan PN kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin…saya juga berkerjasama  dengan PAS, BERSATU dan Gabungan Parti Sarawak (GPS)  kerana saya adalah Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PNBBC),” katanya.

Sementara itu, Shahidan berkata buat masa ini UMNO Perlis  tidak akan mencadangkan apa-apa usul pada PAU 2021 memandangkan belum menerima sebarang arahan daripada UMNO pusat.

— BERNAMA