Home Politik DAP tak bekerjasama dengan UMNO pada PRU-15 – Guan Eng

DAP tak bekerjasama dengan UMNO pada PRU-15 – Guan Eng

Setiausaha DAP, Lim Guan Eng ketika berucap di Konvensyen Biasa DAP Pulau Pinang di SPICE Arena di Relau di sini hari ini.

GEORGE TOWN – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sekali lagi menyatakan pendirian partinya tidak akan bekerjasama dengan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Katanya, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) telah memutuskan untuk kekal dengan dasar parti sebelum ini.

“Saya ingin mengulangi bahawa DAP tidak akan bekerjasama dengan pemimpin korup serta UMNO pada PRU akan datang.

“Kita hanya bekerjasama untuk kepentingan rakyat seperti mana dengan kerajaan negeri Perak dan Johor yang kini dipimpin UMNO.

“Mungkin ada pertemuan dan perbincangan dibuat dengan kerajaan negeri di bawah pimpinan UMNO mengenai isu-isu rakyat,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Biasa DAP Pulau Pinang di SPICE Arena hari ini.

Dalam perkembangan sama, Guan Eng turut menjelaskan pihaknya sedia bekerjasama dengan ahli Parlimen UMNO untuk menggesa kerajaan Perikatan Nasional mengadakan sidang Dewan Rakyat.

“Kita juga mahu Parlimen bersidang supaya dapat mengkaji pelaksanaan Ordinan Darurat yang mengenakan kompaun RM10,000 kepada individu dan RM50,000 ke atas syarikat.

“Ini berbeza kerjasama politik serta dalam PRU,” ujar Guan Eng. – MalaysiaGazette