Home Sukan Kemenangan sulung suntik semangat MUFC hadapi JDT

Kemenangan sulung suntik semangat MUFC hadapi JDT

Kemenangan sulung Melaka United FC (MUFC) malam tadi selepas empat kali mencatat keputusan seri, menyuntik semangat pasukan untuk berdepan pendahulu Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan seterusnya.

MELAKA – Kemenangan sulung Melaka United FC (MUFC) malam tadi selepas empat kali mencatat keputusan seri, menyuntik semangat pasukan untuk berdepan pendahulu Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan seterusnya.

Ketua Jurulatih MUFC Zainal Abidin Hassan berkata tiga mata yang diraih selepas menewaskan KL City FC 2-1 amat bermakna setelah mengharungi lima perlawanan kompetitif dalam jadual yang padat sejak kempen Liga Super bermula kira-kira dua minggu lepas.

Beliau berkata semangat juang serta disiplin tinggi dipamerkan oleh pemain membuahkan hasil sekali gus memecah kebuntuan mencari kemenangan yang diperlukan oleh skuad Hang Tuah itu.

“Dalam tempoh masa liga berehat, kita akan memperbaiki dan meningkatkan prestasi permainan kerana pertemuan selepas ini lebih sukar apabila bertemu pasukan hebat seperti JDT,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan malam tadi.

MUFC dijadual berkunjung ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 2 April.

Pada perlawanan malam tadi di Stadium Hang Jebat, dua gol hasil sepakan penalti Alex Goncalves pada minit ke-51 dan 81 menamatkan badi seri Sang Kancil manakala jaringan tunggal skuad Warga Kota menerusi Abdul Azim Rahim pada minit ke-89.

Biarpun kemenangan itu diperoleh menerusi sepakan penalti, Zainal Abidin menyifatkan tuah lebih memihak pasukannya yang berusaha keras untuk membolosi gawang lawan.

“Mereka tidak mengaku kalah, para pemain tahu keadaan pasukan yang didenda pemotongan tiga mata sebelum ini, mereka tetap berusaha keras mencipta peluang mencari gol,” katanya.

MUFC yang dikenakan pemotongan tiga mata oleh First Instance Body (FIB) susulan kegagalan membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual ditetapkan kekal berada di tangga kelapan dengan mengumpul empat mata.

Sementara itu, jurulatih Kuala Lumpur City FC Bojan Hodak menyifatkan pemainnya menunjukkan prestasi terbaik selepas mengharungi lima perlawanan setakat ini meskipun tewas kepada MUFC.- BERNAMA