Home Nasional Hubungan dua hala terputus bukan baharu dalam sejarah diplomasi negara – Penganalisis

Hubungan dua hala terputus bukan baharu dalam sejarah diplomasi negara – Penganalisis

Kaunselor Kedutaan Korea Utara, Kim Yu-Song membawa bagasi selepas tiba ke lapangan terbang KLIA 1 sebelum menaiki pesawat komersial syarikat Shanghai Airlines penerbangan FM0886 ke Pudong, China susulan arahan kerajaan yang memberi tempoh 48 jam kepada pihak kedutaan Korea Utara meninggalkan Malaysia ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA. Foto MOHD ADZLAN, 21 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Tindakan negara asing memutuskan hubungan dengan Malaysia seperti dilakukan Korea Utara minggu lepas bukanlah kali pertama berlaku dalam sejarah hubungan diplomatik negara.

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Madya Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli berkata sebelum ini, Indonesia, Pakistan dan Afrika Selatan pernah berbuat demikian untuk seketika sebelum berbaik semula.

Oleh itu, bukanlah mustahil hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara pulih semula pada  satu hari nanti apabila keadaan lebih kondusif.

Indonesia pernah memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia akibat konfrontasi pada 1963, manakala Pakistan mengambil tindakan sama pada 1965 susulan pendirian wakil Malaysia di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung perang India-Pakistan menuntut wilayah Kashmir. Kini hubungan kedua-dua negara dengan Malaysia boleh dikatakan akrab.

“Dengan Afrika Selatan juga hubungan kita pernah tegang akibat isu apartheid, tetapi kita berbaik semula pada 1993.

“Dengan Korea Utara, kita memang sudah ada masalah hubungan sejak 2017 susulan kes pembunuhan Kim Jong-nam, saudara tiri pemimpin Tertinggi Korea Utara Kim Jong-un. Selepas itu, kita ada berusaha untuk mengembalikan semula hubungan kedua-dua negara, sebab itu wakil mereka masih ada di sini. Sekarang terputus,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Sementara itu, pakar Geostrategi Prof Dr Azmi Hassan turut senada bahawa hubungan kedua-dua negara boleh pulih semula, namun langkah ke arah itu perlu dimulakan Korea Utara dan bukan Malaysia.

“Kita (Malaysia) sentiasa membuka pintu untuk berunding, tetapi bagi saya Korea Utara lebih memerlukan Malaysia berbanding sebaliknya kerana kita adalah satu daripada 160 negara yang mempunyai hubungan dengan mereka.

“Korea Utara memerlukan hubungan dengan Malaysia kerana Malaysia dianggap sebagai negara berkecuali, ini untuk menunjukkan kepada dunia bahawa negara berkecuali juga mengiktiraf Korea Utara,” katanya.

Tambahnya tindakan Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia juga tidak akan memberi sebarang kesan yang signifikan terhadap negara ini memandangkan kedua-dua negara tidak mempunyai kerjasama signifikan sama ada daripada segi ekonomi mahupun aktiviti antara rakyat dengan rakyat.

Mengenai tindakan Malaysia mengarahkan pegawai Kedutaan Korea Utara meninggalkan negara ini, Azmi melihat tindakan Wisma Putra (Kementerian Luar) itu sebagai tindakan yang wajar walaupun tegas.

“Kita nak memberi isyarat, cukuplah Korea Utara mempermainkan kita kerana kita boleh bertindak dalam hal ini.

“Kita juga tidak boleh lupa sembilan kakitangan Kedutaan Malaysia di Pyongyang ditahan selama dua minggu selepas insiden pembunuhan Kim Jong-nam,  di Malaysia pada 2017.

Hubungan Malaysia-Korea Utara bermula pada awal 1973 dan telah menyaksikan pencapaian memberangsangkan dalam bidang diplomatik dan perdagangan, sehinggalah pembunuhan Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2017.

Insiden itu menimbulkan pelbagai kekusutan sehingga menyebabkan Malaysia memanggil kembali dutanya dan menghentikan operasi kedutaan di Pyongyang. Duta Korea Utara di Kuala Lumpur Kang Chol pula diusir kerana kenyataan provokatifnya.

Pada Jumaat lepas, Korea Utara mengumumkan akan menamatkan hubungan diplomatik dengan Malaysia berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak rayuan ahli perniagaan Korea Utara, Mun Chol Myong daripada diekstradisi ke Amerika Syarikat atas tuduhan pengubahan wang haram.

Malaysia bertindak balas pada hari yang sama dengan menyatakan ia kesal dengan keputusan Korea Utara itu dan mengeluarkan arahan supaya semua kakitangan diplomatik dan tanggungan mereka di kedutaannya di Kuala Lumpur meninggalkan negara dalam tempoh 48 jam. – MalaysiaGazette