Home Nasional Kanak-kanak maut dilanggar ketika bermain basikal

Kanak-kanak maut dilanggar ketika bermain basikal

Kereta milik seorang wanita yang terlanggar mangsa ketika bermain basikal.

BUTTERWORTH – Seorang kanak-kanak lelaki maut dilanggar sebuah kereta ketika bermain basikal di hadapan rumahnya di Kampung Tok Sani, di sini, petang semalam.

Mangsa, Mohamad Aqil Aimar Ismail, 5, maut disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, siasatan polis mendapati kemalangan berlaku pada jam 4.30 petang ketika pemandu wanita berusia 32 tahun itu dalam perjalanan keluar untuk melawat anaknya di Madrasah Gelugor, Bagan Lalang.

Kereta milik seorang wanita yang terlanggar mangsa ketika bermain basikal.

“Wanita itu membelok ke kiri selepas halaman rumahnya sebelum memberhentikan kereta sebaik terdengar bunyi dentuman kuat.

“Dia kemudian keluar untuk memeriksa sebelum mendapati terlanggar seorang kanak-kanak lelaki yang menunggang basikal dari arah kiri jalan di hadapan halaman rumahnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Difahamkan, wanita berkenaan tinggal berhampiran rumah mangsa.

Menurut beliau, susulan itu pemandu wanita tersebut membawa kanak-kanak berkenaan ke unit kecemasan Hospital Seberang Jaya untuk rawatan.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 6.05 petang akibat kecederaan parah pada kepala.

“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujar Noorzainy.

Dalam perkembangan sama, Noorzainy menasihatkan ibu bapa agar lebih peka dan mengawal anak-anak ketika berbasikal bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku. – MalaysiaGazette