Home Nasional Kena saman polis akibat gagal pamer LKM mengelirukan

Kena saman polis akibat gagal pamer LKM mengelirukan

Saman yang dikeluarkan kepada seorang pemilik motosikal kerana didakwa gagal pamer LKM.
KUALA LUMPUR – Tindakan polis menyaman pemilik kenderaan kerana gagal mempamerkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) semasa tempoh pengecualian pembaharuan yang telah diberikan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkuatkuasa dari 1 Feb 2021 sehingga 31 Mac 2021 amat mengelirukan.
Pengerusi Persatuan Wakil Takaful Am Muslim (Perwatam), Hishamuddin Abdul Aziz berkata, situasi ini di luar jangkaan memandangkan tempoh pengecualian LKM masih berkuatkuasa.
Menurutnya, kekeliruan ini tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan pegawai agensi penguatkuasaan terutamanya yang melibatkan pihak polis yang terlibat secara langsung dalam sekatan jalan raya (SJR).
”Saya berharap pihak JPJ segera memberi informasi yang lebih jelas kepada agensi penguatkuasaan yang terlibat supaya perkara ini tidak berlaku pada masa akan datang.
”JPJ juga perlu menyampaikan informasi tepat dengan menggunakan segala kaedah hebahan kepada orang ramai tentang pengecualian pembaharuan LKM ini dan memberi alternatif yang terbaik sekiranya disaman dalam tempoh pengecualian pembaharuan LKM yang telah diberikan,” katanya dalam kenyataan di sini,
Beliau berkata demikian selepas salah seorang pelanggan telah disaman polis dalam SJR di KM 11.9 Labohan Dagang, Nilai pada tarikh 19 Mac 2021 jam 8.45 malam atas kegagalan mempamer LKM.
Hishamuddin berkata, pelanggan pemilik kenderaan itu telah menunjukkan bukti e-cover note insurans dan memaklumkan bahawa ada pengecualian pembaharuan LKM sehingga 31 Mac 2021 kepada pegawai polis berkenaan, namun pegawai polis tersebut
memaklumkan LKM perlu juga perbaharui dan dipamerkan dalam situasi sekarang.
Katanya, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka pada 29 Januari 2021 telah membuat satu kenyataan media berkaitan pengecualian pembaharuan LKM persendirian dan pemandu hanya perlu menunjukkan bukti e-cover note insurans sahaja mulai 01 Feb 2021 hingga 31 Mac 2021.
Poster kenyataan berkenaan turut disebarkan melalui laman sosial Facebook JPJ dan Telegram JPJ.
Dalam masa yang sama, pihak JPJ dan rakan niaga JPJ iaitu pejabat pos telah menutup operasi kaunter bagi transaksi LKM persendirian.
”Saya juga telah dimaklumkan bahawa rakan niaga JPJ yang lain iaitu pihak MYEG telah mengalami kehabisan bekalan disk LKM buat masa ini dan menjangkakan kelewatan penghantaran disk LKM kepada pihak pelanggan yang telah memperbaharui LKM secara atas talian,” ujarnya. – MalaysiaGazette