Home Ekonomi Lay Hong harap Singapura tarik balik semula eksport telur

Lay Hong harap Singapura tarik balik semula eksport telur

Telur
Krisis bekalan telur ayam semakin memuncak apabila bekalan di seluruh negara dijangka merosot sehingga 4.5 juta biji sehari atau lebih sekiranya kerajaan terus mengekalkan harga sedia ada tanpa sebarang kenaikan atau subsidi.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Semua ladang milik Lay Hong Berhad (Lay Hong) di Jeram disahkan bebas daripada salmonella enteritidis (SE) selepas ujian dilakukan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

Berikutan itu, penggantungan bekalan telur dari Jeram 1 – CES 008 ditarik semula hari ini.

Siasatan yang sangat komprehensif dijalankan oleh DVS, yang melibatkan ujian ke atas telur, najis ayam persekitaran, makanan, air dan lain-lain dari setiap ladang di makmal DVS di Salak Tinggi.

Ujian selesai setelah lebih seminggu dari penangguhan sejak SE ditemui pada telur yang dieksport dari Jeram Farm 1 – CES 008 ke Singapura.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Lay Hong, Datuk Yap Chor How mengucapkan ribuan terima kasih kepada DVS Selangor dan DVS Putrajaya untuk siasatan yang cepat dan siasatan itu membuktikan bahawa semua telur keluarannya bebas daripada pencemaran SE.

”Hasil ini juga menunjukkan tidak mungkin pencemaran SE ditemui baru-baru ini berlaku di mana-mana ladang kami. Seperti disebutkan oleh DVS, pencemaran SE tidak terjadi di ladang kami dan mungkin berlaku seiring dengan bekalan ke rantai pemasaran,” katanya.

Susulan keputusan negatif SE, DVS akan berhubung dengan Agensi Makanan Singapura (SFA).

Malah, Yap berharap Singapura akan menarik semula penggantungan eksport secepat mungkin bagi ladang Jeram 1. – MalaysiaGazette