SEJAK kebelakangan ini, kita dapat lihat pelbagai berita, tulisan dan video yang
mengelirukan yang tersebar di media sosial merentasi semua bidang keilmuan. Hal ini telah menatijahkan kerosakkan nilai ilmu yang amat membimbangkan, sekaligus menyebabkan perpecahan dalam masyarakat.
Pandemik kerosakan ilmu ini merupakan satu bencana yang lebih besar daripada pandemik kesihatan yang kita sedang hadapi. Pandemik ini bukan sahaja akan merosakkan generasi akan datang bahkan ia mampu membantutkan proses kemajuan dan pembangunan sesebuah negara.
Sudah tiba masanya kita melakukan refleksi diri bagi mengelak daripada
mengambil pendapat yang janggal atau salah berkaitan sesuatu perkara menurut prinsip-prinsip ilmu bagi mengekalkan nilai ilmu tersebut. Peradaban adalah sesuatu yang terbina di atas jalan keilmuan.
Dalam proses kita memajukan sesebuah negara, aspek terpenting untuk dilihat adalah perkembangan ilmu dan ketinggian adab. Dengan adanya ilmu, masyarakat akan jelas dengan peranan masing-masing diatas muka bumi. Manakala dengan adab pula, masyarakat tidak akan melampaui batas keilmuan sendiri dan tidak akan melakukan kerosakkan.
Di sisi islam, ilmu dan ahlinya berada pada kedudukan yang tertinggi sehinggakan
ilmuan itu diangkat sebagai pewaris para rasul. Kemuliaan ilmu dan ahlinya banyak disebut di dalam al-Quran dan hadith Rasulullah SAW bahkan penuntut ilmu juga dikira sebagai satu jihad di jalan Allah.
Jika kita menelusuri sejarah perkembangan ilmu, dengan jelas kita mengetahui akan
perjuangan dan kesungguhan orang dahulu kala dalam proses menuntut ilmu. Kesungguhan ini telah menatijahkan kekuatan dan keberkesanan ilmu dalam diri mereka, sekali gus menjadi manfaat kepada diri mereka dan masyarakat pada masa itu.
Sebaliknya, di zaman sekarang, proses menuntut ilmu telah menjadi sangat mudah dan
boleh diakses pada bila-bila masa dimana jua kita berada. Tambahan pula, dengan bermulanya pandemik Covid-19 yang melanda dunia, lebih banyak pengajian yang telah berpindah dari mode konvensional ke dalam talian.
Natijahnya, kita menghadapi satu masalah yang sangat besar iaitu dengan jatuhnya nilai
sesebuah ilmu akibat pelbagai faktor. Kejatuhan nilai ilmu ini dilihat apabila mula bercampur sesuatu ilmu dengan perkara-perkara yang salah dan tidak berasa serta kurangnya penghargaan dan pengamalan bagi sesuatu ilmu itu.
Faktor berlakunya pandemik kerosakkan ilmu
Pandemik kerosakan ilmu ini diantaranya berpunca dari orang yang menyampaikan
ilmu itu sendiri. Sebahagian ilmuan bertindak menyampaikan ilmu secara tidak jujur dengan disembunyikan sebahagian fakta dan dinyatakan fakta yang lain tanpa melihat kepada konteks dan situasi semasa. Bahkan ada ilmuan yang mengeluarkan kenyataan terhadap sesuatu yang berada di luar bidang kepakarannya.
Walhasil, telah berlaku percampuran antara ilmu yang benar dan penipuan serta kekeliruan yang mampu membawa kepada perpecahan. Apabila orang yang ingin menyampaikan ilmu itu melanggar garis sempadan keilmuan, maka terzahirlah kesilapan dan keaiban yang menghinakan sekaligus menjatuhkan nilai ilmu yang disampaikan.
Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Isra’ ayat ke 36 yang bermaksud;
“Janganlah kamu mengikuti sesuatu yang tidak kamu ketahui. Kerana pendengaran,
penglihatan dan hati nurani, semuanya akan dipersoalkan.” Menurut tafsir At-Tabari,
sebahagian ahli tafsir mentakwilkan ayat ini dengan; Janganlah kamu berkata perkara yang kamu tiada ilmu tentangnya.
Tidak layak bagi seorang ahli dalam bidang agama untuk berbicara hal-hal berkaitan
perubatan apabila dia tidak mahir dalam bidang itu. Hal yang sama juga bagi seorang ahli
perubatan, tidak layak baginya untuk berbicara perihal ilmu agama apabila dia tidak
mempunyai keahlian dalam bidang itu.
Seorang ilmuan yang jujur hendaklah mengakui kelemahan dirinya dalam memahami
sesuatu di luar bidangnya. Dia tidak akan berasa malu atau hina untuk mengatakan “Aku Tidak Tahu” apabila muncul persoalan yang tidak ia ketahui atau di luar bidang yang dia ceburi.
Jika ahli ilmu saling menghormati bidang masing-masing, konflik yang berlaku pada
zaman ini dapat dielakkan sekaligus mewujudkan keharmonian dalam masyarakat. Sebaliknya, inilah situasi yang berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini. Ilmuan bercakap diluar bidang masing-masing sehingga menyebabkan masyarakat keliru dan berpecah.
Selain itu, diantara punca yang telah mengakibatkan pandemik kerosakan ilmu adalah
kelemahan masyarakat dalam menuruti disiplin ilmu. Semua telah jelas bahawa ilmu
merupakan sesuatu yang mempunyai disiplin dan prinsip yang tertentu bagi setiap bidang yang wujud. Bagi seseorang itu mendapatkan ilmu yang bermanfaat, dia hendaklah memulakan perjalanannya dengan mengikuti tingkatan ilmu yang betul iaitu bermula dari peringkat paling bawah dan sedikit demi sedikit meningkat ke atas.
Kegagalan sebahagian pihak mengikuti pengajian mengikut peringkat yang sesuai
dengan diri sendiri bukan sahaja boleh menyebabkan kekeliruan bahkan boleh mengakibatkan kesalahfahaman terhadap sesuatu ilmu. Hal ini akan menatijahkan kerosakkan nilai ilmu apabila seseorang itu beranggapan bahawa dia telah mengikuti disiplin yang betul sedangkan apa yang difahaminya itu adalah salah.
Kesannya, nilai sesuatu ilmu itu akan tercemar dengan kesalahan-kesalahan yang
dilakukan oleh penuntut ilmu. Lebih menyedihkan apabila ilmu yang disalahfaham itu
disebarkan kepada masyarakat yang langsung tidak menyelami bidang itu, sekaligus meburukan lagi keaadan. Situasi ini telah disebut oleh ilmuan terdahulu sebagai golongan yang paling bahaya dan mampu membawa kerosakan iaitu mereka yang tidak tahu bahawa mereka tidak tahu.
Di samping itu, sikap sebahagian orang yang sering menyebarkan maklumat tanpa usul
periksa juga menjadi pemankin bagi pandemik kerosakan ilmu ini. Menyebarkan maklumat tanpa usul periksa kebenaran fakta yang terdapat dalam maklumat itu mampu mendedahkan diri pada kesilapan menyebarkan maklumat yang salah. Tambahan pula dengan teknolgi yang ada menjadikan proses berkongsi maklumat sangat mudah.
Umat manusia diperintahkan untuk menyiasat terlebih dahulu sumber bagi setiap
maklumat yang kita perolehi bagi menjamin kesahihannya. Sesuatu maklumat berkaitan
hendaklah datang dari seorang yang berkeahlian dalam bidang itu. Jika tidak, ia hanyalah
omongan kosong tanpa fakta dan bukti. Peranan Masyarakat dalam membendung pandemik kerosakan ilmu.
Sebagai anggota masyarakat, kita berperanan untuk mencegah pandemik kerosakan
nilai ilmu ini daripada menjadi lebih parah. Masyarakat merupakan institusi yang paling awal terkesan daripada pandemik ini seterusnya membawa kepada keruntuhan institusi-institusi lain. Kelemahan kita membendung pandemik ini menunjukkan kelemahan kita pada menguruskan memartabatkan ilmu pengetahuan.
Perkara pertama yang perlu dititik berat dalam kalangan masyarakat adalah perihal
kepada siapa perlu kita jadikan rujukan bagi mendapatkan maklumat tentang sesuatu perkara. Jika kita ingin mendapatkan maklumat berkenaan hukum hakam, kita hendaklah merujuk dari seorang yang berkepakaran dalam hukum fekah atau mufti. Jika kita merujuk perkara hukum hakam kepada seorang pakar bedah, kita sebenarnya telah tersilap kerana seorang pakar bedah tidak lazim baginya untuk mengeluarkan hukum hakam.
Begitu jualah berkaitan bidang-bidang yang lain seperti ekonomi, sains dan sebagainya. Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Anbiya’ ayat ke 7 yang bermaksud; “Maka tanyalah kepada orang yang beilmu jika kamu tidak ketahui.” Kita perlu sedar bahawa setiap orang mempunyai kelemahan masing-masing dari sudut keilmuan. Janganlah kita bersikap sembrono dengan menanyakan soalan kepada orang yang bukan ahlinya. Sudah pasti seorang doktor itu lemah dalam menjawab soalan-soalan keagamaan melainkan dia juga mendalami bidang tersebut.
Kita sebagai masyarakat hendaklah bijak dalam menanyakan soalan jika kita benar benar ingin mendapatkan jawapan yang tepat. Kesimpulannya, setiap anggota masyarakat wajar mengambil berat isu pandemik kerosakan ilmu ini tanpa mengira kedudukan dan pandangan masing-masing. Ilmu merupakan tonggak yang menjadikan manusia dimuliakan keatas sekalian makhluk yang lain, maka nilai ilmu perlu dipelihara bagi memastikan kita mampu mentadbir dengan baik dan kemajuan dapat dicapai.
Oleh: Muhammad Zulkarnain Abd Rahim
Pelajar Perubatan di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Sains Islam Malaysia.