Home Utama Prolintas sentiasa pastikan SUKE dibina dengan cara paling selamat

Prolintas sentiasa pastikan SUKE dibina dengan cara paling selamat

Anggota polis mengusung mayat akibat sebuah kren jatuh di tapak pembinaan Projek Package CA3 Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi Ulu-Klang Expressway (SUKE) dan menimpa sebuah kenderaan awam yang melalui kawasan itu di Persiaran Alam Damai, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 22 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn. Bhd., syarikat pemegang konsesi Lebuhraya SUKE sentiasa mengambil berat terhadap aspek keselamatan memandangkan lebih 90 peratus jajaran SUKE melibatkan kerja di tempat tinggi dan berada di atas jalan raya yang sedia ada serta trafik berkapasiti tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prolintas, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, tanggungjawab itu digalas sejak dari hari pertama projek ini dibangunkan.

“Kami sentiasa mengambil langkah-langkah yang wajar untuk memastikan keselamatan pekerja dan orang awam dalam pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE), yang dijadualkan siap pada akhir tahun ini.

“Kami berusaha untuk bekerja sebagai satu pasukan dan objektif kami sangat jelas untuk memastikan projek ini dibina dengan cara yang paling selamat, siap tepat pada waktunya dan mengikut standard amalan kejuruteraan tertinggi.

“Walau bagaimanapun, insiden yang berlaku pada hari ini amat mendukacitakan dan Prolintas akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, serta akan terus menambah baik proses dan pelaksanaan projek yang sedia ada,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat di dalam insiden kemalangan ini

Pembinaan projek SUKE yang bermula pada 29 Ogos 2016 sehingga kini telah mencapai kemajuan sebanyak 88.8%.

Lebuhraya SUKE sepanjang 24.4km kelak akan mengurangkan kesesakan lalu lintas sekurang-kurangnya sebanyak 30% di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan di kawasan kepadatan tinggi seperti Cheras, Pandan Indah dan Ampang.

Dalam kenyataan hari ini, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) dan SUKE berkata, syarikat secara konsisten mengingatkan kontraktor-kontraktor terlibat untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP), serta mengambil langkah-langkah bersesuaian dalam aspek keselamatan.

Prolintas adalah syarikat yang memiliki SUKE.

Antaranya dengan mengadakan sesi taklimat keselamatan setiap hari sebelum memulakan tugas serta latihan penyelamat kecemasan bersama badan-badan keselamatan berkaitan secara berkala.

Dalam pada itu, pengaktifan pelan lalu lintas yang diluluskan oleh pihak berkaitan seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia dan pihak berkuasa tempatan juga diperolehi dan dilaksanakan demi keselamatan pengguna jalan raya.

Untuk rekod, pembinaan SUKE melibatkan sembilan kontraktor utama di samping penglibatan secara menyeluruh oleh jurutera perunding bebas dalam membuat rekabentuk, pengawasan dan penyeliaan dari pelbagai aspek.

Dalam pada itu, Prolintas juga mempunyai pasukan dalaman yang terdiri daripada jurutera berpengalaman memantau kerja-kerja yang dilakukan oleh kontraktor-kontraktor terlibat.

Terdapat juga audit keselamatan mingguan yang dilakukan bagi menilai kerja-kerja serta kepatuhan terhadap SOP keselamatan dan kesihatan, yang dipantau secara langsung oleh Prolintas. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Itu dakwa orang projek, sebab itu kena ada 3rd party yang dapat buat on site SAFETY assessment? Banyak syarikat2 safety 3rd party oil & gas yang tiada kerja sekarang, mungkin boleh panggil mereka? Buatlah untuk semua projek SUKE, DASH dsb?

    Invest la skit untuk safety orang awam?

Comments are closed.