Home Nasional 3 kluster tempat kerja dikesan

3 kluster tempat kerja dikesan

Sebanyak 30 lagi kluster baharu Covid-19 dikesan dalam tempoh 24 jam lalu terutama melibatkan tempat kerja.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Tiga kluster baharu melibatkan tempat kerja dikesan hari ini di Selangor, Johor dan Pulau Pinang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kluster Balakong Jaya Dua melibatkan pekerja gudang pasar raya di Jalan Perindustrian Balakong Jaya 2/1, Seri Kembangan.

“Sehingga 23 Mac 2021, sejumlah 72 individu telah disaring, di mana 37 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kluster Jalan Indah Gemilang Satu pula melibatkan pekerja kilang Jalan Indah Gemilang 1, Taman Perindustrian Gemilang, Ulu Tiram, Johor Bahru.

“Sejumlah 259 individu telah disaring, di mana 78 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” tambahnya.

Seterusnya Kluster Teknologi Bukit Minyak juga pekerja kilang di Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Selatan, dan Barat Daya di Pulau Pinang.

“Sehingga 23 Mac 2021, sejumlah 1,685 individu telah disaring, di mana 98 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” kata Noor Hisham.

Sementara itu 15 kluster diisytiharkan tamat hari ini iaitu Kluster Jalan Jitu, Kluster Penjara Kepayan, Kluster Perigi, Kluster Bestari Rantau, Kluster Jalan Kubur Darau, Kluster Semarak Bersia, Kluster Parit Lanjut, Kluster Tanah Putih, Kluster Gudang Salak Tinggi, Kluster Jalan Teknologi, Kluster Nanga Lijan, Kluster Univista, Kluster Kidurong Dua, Kluster Lot Tujuh, dan Kluster Tapak Bina Lombong Timah).

Dr. Noor Hisham turut memaklumkan sehingga kini, sebanyak 399 kluster yang masih aktif. – MalaysiaGazette