Home Pendapat Bantuan yang diterima umpama talian hayat

Bantuan yang diterima umpama talian hayat

Anggota Angkatan Tentera Malaysia dan PDRM mengawal keadaan jalan keluar dan masuk berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang berkuatkuasa susulan penularan wabak Covid-19 di Plaza City One, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 31 MAC 2020

PERUBAHAN kuasa di Putrajaya pada Mac 2020 sememangnya takdir tuhan yang mempunyai hikmah.

Apa tidaknya, ia datang seiring ancaman virus berbahaya yang ketika itu tiada siapa sangka mampu menular ke seluruh dunia, mengorbankan begitu banyak nyawa, menjejaskan kestabilan ekonomi, menyebabkan ramai yang hilang kerja dan ramai juga hidup dalam kesempitan kewangan yang tidak pernah dijangka.

Lebih awal sebelum itu, masih terngiang-ngiang di telinga bagaimana kerajaan sebelum Mac 2020 mencanangkan Malaysia sudah kekeringan dana.

Apabila Covid-19 terus menggila, kerajaan baharu di bawah Perikatan Nasional (PN) boleh saja menggunakan skrip yang sama agar hanya rakyat yang benar-benar terkesan dengan wabak berkenaan diberi bantuan.

Namun itu tidak berlaku, lebih RM300 bilion diluluskan bagi membantu rakyat dan semua sektor termasuk usahawan. Perlu diingat, bantuan yang disalurkan bukan sekadar wang ringgit, tetapi hadir dalam pelbagai bentuk dan ia sememangnya melegakan.

Antara kelompok usahawan paling terkesan adalah kontraktor kecil seperti saya. Projek kian berkurangan ketika mereka yang sedang melaksanakan projek pula terpaksa menanggung kos buruh yang tinggi kerana kehadiran pekerja ditapak projek dihadkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pendapatan menyusut, tetapi pekerja masih perlu dibayar gaji. Pembekal bahan binaan tidak pernah lupa menuntut bayaran kerana mereka juga mempunyai tanggungan.

Untuk rekod, ada kira-kira 50,000 kontraktor Bumiputera berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan daripada jumlah itu pula, sekitar 35,000 adalah kontraktor kecil Bumiputera kelas G1 di seluruh negara, termasuk juga saya.

Memang saya akui keadaan kewangan syarikat begitu kritikal, tetapi saya yakin kepada kerajaan yang ada. Saya yakin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kabinetnya tidak akan membiarkan rakyat menderita, tidak akan menggunakan alasan kononnya dana kerajaan kering dan duit sudah tiada.

Keyakinan saya tidak tersasar kerana kerajaan dari semasa ke semasa melancarkan pelbagai pakej bantuan untuk melindungi rakyat dan negara. Sejak penularan Covid-19 bermula di Malaysia lebih kurang setahun yang lalu, kerajaan mengotakan janji dengan memperkenalkan beberapa pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM305 bilion.

Bermula dengan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bernilai RM250 bilion pada Mac 2020, diikuti Prihatin Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Tambahan berjumlah RM10 bilion, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) membabitkan perbelanjaan RM35 bilion dan kemudian Kita Prihatin dengan peruntukan RM10 bilion.

Bagi memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan susulan pelaksanaan semula PKP pada Januari lalu, kerajaan mengumumkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) bernilai RM15 bilion dan terbaru, Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) dengan peruntukan RM20 bilion.

Saya mendapat manfaat daripada inisiatif yang dilancarkan kerajaan, antaranya moratorium atau penangguhan bayaran pinjaman kewangan, pengecualian sewa premis dan terbaru, dengan doa dan harapan agar dimurahkan rezeki saya untuk terpilih melaksanakan projek kecil melalui peruntukan RM260 juta yang diagihkan kepada setiap negeri mulai 21 Mac lalu.

Bantuan khas di bawah Pemerkasa itu dengan setiap negeri menerima RM20 juta adalah untuk pelaksanaan segera projek kecil bagi memulihkan ekonomi setempat di peringkat akar umbi, dikhususkan kepada kontraktor kelas G1 hingga G4 termasuk saya.

Projek-projek kecil itu termasuklah pembaikan infrastruktur dan fasiliti awam, pembaikan jalan, program ameniti sosial, baik pulih perumahan awam serta penyelenggaraan premis perniagaan bagi memastikan peniaga kecil dan penjaja mempunyai persekitaran kondusif untuk berniaga di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Keprihatinan kerajaan menyediakan peruntukan untuk pelaksanaan projek-projek kecil oleh kontraktor Bumiputera kelas G1 hingg G4 memang melegakan, ibarat talian hayat untuk kami bangkit semula, umpama cahaya di hujung terowong yang gelap ketika ada di antara semakin berputus asa dan melihat masa depan yang malap.

Abdul Razak Hussin Ali
Seberang Jaya, Pulau Pinang