DHAKA – Kem pelarian Rohingya mengalami kebakaran di Balukhali, Cox’s Bazar Bangladesh, semalam.
Ia merupakan kebakaran ketiga dan terburuk yang berlaku dalam tempoh empat hari di kem tersebut.
Pengawai berkata, kebakaran itu bermula di salah satu daripada 34 kem yang terletak dalam kawasan seluas kira-kira 3,237 hektar.
“Ia kemudian merebak ke tiga buah kem yang lain sehingga menyebabkan para pelarian berlari menyelamatkan diri sambil membawa apa sahaja barangan dari tempat tinggal mereka.
“Asap tebal mula kelihatan menerusi video yang dikongsikan di media sosial ketika ratusan anggota bomba dan pekerja bantuan sedang berusaha memadamkan kebakaran serta menyelamatkan kesemua mangsa,” katanya.
Sementara itu, Inspektor, Gazi Salahuddin berkata, kebakaran itu berjaya dipadamkan pada tengah malam.
“Kami dengar lima orang terbunuh akibat kebakaran tersebut dan mayat mereka berada di dalam kem tersebut.
“Sehingga kini, kami tidak dapat mengeluarkan sebarang kenyataan sehingga semua mayat ditemui,” tegasnya.
Dalam pada itu, seorang anggota sukarela pertubuhan kanak-kanak, Tayeba Begum berkata, beliau melihat orang ramai menjerit dan berlari untuk menyelamatkan diri manakala kanak-kanak pula menangis sambil berlari bertempiaran ketika kejadian.
Dua kebakaran besar turut berlaku di kem itu pada Januari lalu menyebabkan ribuan pelarian hilang tempat tinggal dan empat buat sekolah Pertubuhan Dana Kecemasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga turut terbakar.
Namun, punca kebakaran itu masih tidak diketahui.
Untuk rekod, hampir satu juta penduduk minoriti Muslim dari Myanmar telah melarikan diri ke Bangladesh berikutan operasi tentera pada 2017.
Mereka kemudian ditempatkan di kem-kem pelarian. – MalaysiaGazette
Perumahan setinggan Rohingya di bandar Bukit Malut dipertanggung-jawabkan beli insuran kebakaran okay.