Home Nasional KPKT sedia RM500,000 kepada PKN, jayakan Program Mendaya Komuniti

KPKT sedia RM500,000 kepada PKN, jayakan Program Mendaya Komuniti

CYBERJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) komited untuk bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dalam melaksanakan program-program berkaitan penjagaan kebersihan dan amalan pengurangan, guna semula dan kitar semula (3R) di peringkat komuniti.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, ia bagi menjayakan Dasar Kebersihan Negara dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersih dan mewujudkan budaya amalan kebersihan dalam kalangan masyarakat.

“Program Mendaya Komuniti yang meliputi kutipan sampah dan kitar semula setakat ini telah mencapai 30 peratus dan kita sasarkan sehingga 32 peratus pada akhir tahun ini.

“Kejayaan program ini bergantung kepada jumlah kutipan sampah dan kitar semula yang mana bukan sahaja memberi pendapatan kepada NGO bahkan rakyat juga mendapat manfaatnya,” katanya pada sidang media di SWCorp, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abd Mutallib; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Ismail Mokhtar dan Pengerusi Penggerak Komuniti Negara (PKN), Nor Hizwan Ahmad.

Terdahulu Zuraida menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SWCorp dengan PKN dan melancarkan Program Mendaya Komuniti di ibu pejabat agensi kerajaan itu, hari ini.

Datuk Zuraida Kamaruddin merasmikan Program Mendaya Komuniti di ibu pejabat SWCorp, Cyberjaya, hari ini

Bagi menjayakan Program Mendaya Komuniti, KPKT telah memperuntukkan sehingga RM500,000 kepada 47 PKN di seluruh negara pada tahun ini.

“Peruntukan ini bukan imbuhan sebaliknya digunakan bagi penganjuran taklimat, program kesedaran dan latihan.

“Mereka ini (PKN) dapat hasil daripada jualan sampah dan kitar semula,” jelasnya.

Dalam pada itu, program ini akan digerakkan ke seluruh negara walaupun hanya tujuh negeri sahaja yang menandatangani Perjanjian Pengurusan Sistem Pepejal dan Pembersihan Awam Akta 672 setakat ini.

“Bagaimanapun program ini akan kita kembangkan di lima negeri yang tidak menandatangani Akta 672 kerana dasar negara ianya meliputi semua.

“Bukan urusan kutipan sampah dan pembersihan kawasan, kita nak pastikan negara ini bersih, kita tidak boleh melaksanakannya setakat di tujuh negeri sahaja,” katanya.

Menurut Zuraida, keputusan untuk bekerjasama dengan PKN adalah tepat kerana NGO itu mempunyai rangkaian yang meluas di seluruh negara dengan kekuatan keahlian 300,000 orang bagi menjayakan program ini.

“Hari ini merupakan satu inisiatif yang baik SWCorp telah membuat MoU dengan PKN yang mempunyai rangkaian anggota yang sangat luas seramai 300,000 ahli di seluruh negara,” katanya. – MalaysiaGazette