Home Nasional PDRM tingkat kawalan di kawasan sensitif, Kedutaan Korea Utara

PDRM tingkat kawalan di kawasan sensitif, Kedutaan Korea Utara

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador bercakap kepada media berkaitan Op Ekzos Bising di Dewan Theathrette, Menara 1, Bukit Aman. Foto MOHD ADZLAN, 23 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempertingkatkan kawalan ketat keselamatan di kawasan sensitif termasuk di bangunan Kedutaan Korea Utara di Jalan Binjai berikutan krisis diplomatik antara Malaysia dan negara republik itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, Bukit Aman sentiasa mengambil pendekatan berhati-hati dalam soal Korea Utara memandangkan banyak kejadian mengaibkan pernah berlaku membabitkan negara tersebut.

Katanya, apa yang berlaku bukannya kerana Malaysia memusuhi Korea Utara, sebaliknya negara itu sendiri yang memutuskan hubungan diplomatik dengan negara ini.

“Saya telah mengarahkan pengarah dan ketua polis negeri untuk meningkatkan kesediaan dalam memantau sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Kita sentiasa memantau perkembangan berkaitan kemelut yang berlaku ini sehingga keadaan benar-benar reda dan kembali normal,” katanya dalam sidang media bersama Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman di Dewan Theatrette di sini.

Malaysia telah mengusir Konsulat Duta Korea Utara dalam tempoh 48 jam selepas Korea Utara mengumum menamatkan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Korea Utara bertindak demikian selepas mahkamah negara ini memutuskan untuk mengekstradisi warganya bernama Mun Chol-myong ke Amerika Syarikat.

Keputusan mahkamah itu telah mencetuskan rasa tidak puas hati Pyongyang ke atas Malaysia.- MalaysiaGazette