Home Nasional Saman ekzos bukan PDRM cari duit

Saman ekzos bukan PDRM cari duit

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador bercakap kepada media berkaitan Op Ekzos Bising di Dewan Theathrette, Menara 1, Bukit Aman. Foto MOHD ADZLAN, 23 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Polis bukan mencari duit apabila bertindak menyaman penunggang motosikal atas kesalahan ubah suai ekzos.

Sebaliknya, ia bertujuan memberi peringatan kepada penunggang-penunggang motosikal yang mengganggu ketenteraman awam.

Sehubungan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador meminta semua penunggang motosikal yang mengubahsuai ekzos masing-masing atas alasan menambah kuasa kelajuan enjin di atas jalan raya supaya menghentikan perbuatan itu.

Ini kerana tindakan lebih tegas akan diteruskan kerana polis kerap mendapat aduan orang ramai tentang bunyi ekzos bising kawasan perumahan kos rendah.

Keadaan ini berlaku akibat perbuatan tidak bertanggungjawab penunggang motosikal yang mengubahsuai ekzos untuk ‘thrill’ yang tidak logik.

Menurut beliau, perkara sama juga berlaku di terowong motosikal apabila penunggang bertindak menekan minyak dengan kuat hingga menyebabkan rasa panik kepada pengguna lain.

“Bukan niat PDRM mahu cari duit atau diarah saman waktu Covid-19 seperti dikritik ramai.

“Sebenarnya polis bertindak demi keselamatan pengguna lain serta pemilik motosikal itu sendiri yang berumba haram atas jalan dan membahayakan pengguna lain,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias dan bekas pelumba motosikal negara, Wazi Abdul Hamid.

Malah, menurut beliau, PDRM lelah menjalankan pelbagai kempen advokasi dan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal namun masih tidak dipatuhi.

Malah, penunggang motosikal ini masih melampaui batasan sehingga mencabar polis dengan pelbagai kritikan dan cemuhan.

Sedangkan, mengikut data polis, kemalangan membabitkan motosikal kerap berlaku.

“Nasihat polis senang, kalau nak solat pagi Aidilfitri kali ini dengan kaki yang patah bersimen, pilihan ditangan penunggang motosikal sendiri..kalau berdegil mahu bersaing katil hospital teruskan amalan anda,” ujarnya.

Mengikut statistik operasi khas Kesalahan Bunyi Bising selama 21 hari pada Mac 2021, sebanyak 120,932 kenderaan diperiksa dan 59,727 daripadanya adalah motosikal.

Daripada jumlah itu, 5,721 kenderaan termasuk 4,087 motosikal telah disaman sementara 2,389 kenderaan termasuk 2,309 motosikal pula disita. – MalaysiaGazette