SERDANG – Kelestarian dalam pengeluaran pertanian dan industri makanan menjadi satu agenda penting pada masa ini untuk menjadikan Malaysia sebagai pengeluar makanan dengan menggunakan sumber tenaga yang cekap melalui penggunaan teknologi inovatif.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ini kerana aplikasi teknologi mekanisasi dan automasi telah terbukti sebagai pendekatan yang terbaik apabila dikaitkan dengan jaminan pengeluaran makanan secara berterusan.
Beliau menjelaskan, kerajaan komited dalam memperkukuhkan sektor agromakanan negara dengan menambahkan lagi usaha-usaha untuk meningkatkan pengeluaran domestik, perluasan teknologi moden dalam sektor pertanian dan pengurangan kebergantungan kepada import sekaligus meningkatkan kualiti dan jaminan sekuriti makanan.
“Pendekatan-pendekatan baharu dan di luar kebiasaan sememangnya perlu bagi memastikan kita dapat menghadapi pelbagai cabaran sekuriti makanan termasuk pandemik Covid-19.
“Kita mesti terus memberikan penekanan yang lebih bagi penggunaan teknologi mekanisasi dan automasi, pembangunan model pertanian moden, pertanian tepat, agro robotik, aplikasi berasaskan Internet of Things (IoT) dan sebagainya sejajar dengan Revolusi Industri 4.0,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Kebangsaan Kejuruteraan Pertanian dan Makanan (NAFEC) 2021 di Ibu Pejabat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Serdang di sini hari ini.
Bertema ‘Menerajui Masa Hadapan Melalui Kejuruteraan Agro-Makanan Moden’, konvensyen yang berlangsung secara atas talian selama dua hari bermula hari ini dianjurkan dengan kerjasama MARDI dan Persatuan Jurutera Pertanian dan Makanan Malaysia (MSAE).
Mengulas lanjut, Ronald menambah, penggunaan teknologi mekanisasi dalam sektor pertanian dan kaedah yang sesuai dilihat dapat meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kehilangan lepas tuai.
Sebagai contoh kata beliau, penggunaan Prosedur Operasi Standard (SOP) Kehilangan Lepas Tuai Padi yang dibangunkan oleh MARDI dapat mengurangkan kehilangan lepas tuai padi daripada 28.5 peratus kepada 7.9 peratus.
Jelas beliau, ini membuktikan keperluan mekanisasi dalam industri pertanian tidak boleh dipandang remeh kerana penggunaannya mampu memberi impak dalam meningkatkan hasil pengeluaran kepada negara dalam jangka masa panjang.
“Sebelum ini saya sempat melihat sendiri teknologi-teknologi moden hasil daripada penyelidikan MARDI. Saya amat kagum dengan Teknologi Kilang Tanaman yang menghasilkan sayur-sayuran premium.
“Teknologi yang menggunakan spektrum cahaya melalui penyelidikan serta aplikasi Internet of Things (IoT) ini, mampu memaksimakan hasil tanaman dengan hanya menggunakan tenaga buruh yang rendah,” katanya.
Ronald berkata, dengan penggunaan mekanisasi dan automasi, sistem pertanian pintar, aplikasi IoT dan dron, ia dilihat mampu menarik minat petani dan pengusaha makanan dari golongan anak muda sekaligus meningkatkan produktiviti pengeluaran dengan pengurusan yang cekap.
“Saya percaya, kehadiran generasi muda akan menyemarakkan lagi profil sektor pertanian sebagai satu sektor yang dinamik, moden dan menjadi sumber kekayaan baru negara setanding sektor-sektor ekonomi yang lain.
“Tidak saya nafikan bahawa terdapat peningkatan penyertaan golongan muda di beberapa peringkat rantaian pengeluaran makanan seperti pemasaran, khususnya pemasaran atas talian atau e-commerce, namun, saya mahu kita terus berusaha menggalakkan penyertaan lebih ramai golongan anak muda ini terlibat di sepanjang peringkat rantaian pengeluaran makanan merentasi semua sub-sektor agromakanan,” katanya.
Sementara itu, pada majlis tersebut, Ronald turut melancarkan dua penerbitan ilmiah berkaitan kejuruteraan pertanian dan makanan iaitu Buku Teknologi Kejuruteraan Agromakanan MARDI serta edisi pertama Advanced Agriculture and Food Research Journal (AAFRJ) oleh MSAE.
Buku Teknologi Kejuruteraan Agromakanan MARDI itu merupakan evolusi teknologi kejuruteraan agromakanan yang telah dibangunkan sejak penubuhan MARDI dari era 80an sehingga kini.
Advance Agriculture and Food Research Journal merupakan penerbitan saintifik bagi perkongsian hasil penyelidikan berkaitan teknologi maju dan terkini dalam agromakanan. Pelancaran teknologi berbentuk ilmiah ini sekaligus dapat menyebar luas teknologi-teknologi baharu yang berpontesi untuk diketengahkan kepada petani dan pengusaha-pengusaha ladang dan makanan. – MalaysiaGazette