Home Nasional Tiada unsur sabotaj kes anggota cedera tersangkut tali tangsi – Polis

Tiada unsur sabotaj kes anggota cedera tersangkut tali tangsi – Polis

Seorang anggota polis cedera akibat terkena tali tangsi ketika menunggang motosikal pada Ahad lalu.

SEBERANG PERAI – Tiada unsur sabotaj membabitkan kejadian seorang anggota polis cedera pada leher selepas tersangkut pada seutas tali tangsi ketika menunggang motosikal di Kilometer 129.6 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Butterworth di sini pada Ahad lalu.

Perkara itu ditegaskan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor selepas satu rakaman berhubung kejadian itu tular di media sosial hari ini.

Noorzainy Mohd Noor.

Mengulas mengenai kejadian tersebut, Noorzainy memberitahu, ia berlaku pada jam 4.30 petang ketika anggota berusia 24 tahun itu dalam perjalanan pulang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara dari Hospital Bukit Mertajam.

“Mangsa cedera pada bahagian leher akibat terkena tali tangsi yang melintang di laluan kiri jalan.

Seorang anggota polis cedera pada leher akibat terkena tali tangsi layang-layang di Lebuh Raya Utara-Selatan di Butterworth pada Ahad lalu.

“Dia (anggota) itu hanya dirawat sebagai pesakit luar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Noorzainy, hasil siasatan lanjut mendapati tiada unsur sabotaj dalam kes tersebut, sebaliknya pihak polis menjumpai tali tangsi berselerak atas rumput di bahu kiri jalan .

Tali tangsi layang-layang ditemui di lokasi kejadian.

“Bukan unsur sabotaj sebaliknya tali layang-layang yang dipercayai terputus dan terjatuh di kawasan lebuh raya terbabit.

“Selain itu, hasil temu bual dengan anggota peronda PLUS memberitahu ini merupakan kejadian pertama dilaporkan dan pihak pengurusan lebuh raya telah mengeluarkan tali terbabit bagi mengelak kejadian berulang,” ujar Noorzainy.

Dalam perkembangan sama, Noorzainy turut mengingatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran terhadap masyarakat. -MalaysiaGazatte