Home Nasional Kerja-kerja alih struktur kren gantri dilakukan di tapak projek SUKE

Kerja-kerja alih struktur kren gantri dilakukan di tapak projek SUKE

Keadaan di tapak pembinaan SUKE di Alam Damai.

KUALA LUMPUR – Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd, pemilik projek Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) bersama-sama pihak berkaitan akan memberikan fokus kepada kerja-kerja pengalihan struktur kren gantri dan pembaikan di tapak kejadian.

Proses pengalihan dan pembaikan yang rumit ini akan mengambil masa beberapa hari di atas sebab-sebab keselamatan terutamanya kepada penduduk sekitar dan para pekerja di tapak.

Antaranya bagi memastikan struktur lebuh raya yang terlibat kekal utuh, tambahan pula kerja-kerja pengalihan kren gantri yang terlalu berat memerlukan proses pemotongan kepada beberapa bahagian kecil sebelum dibawa turun.

Untuk memastikan keselamatan penduduk; terutamanya penduduk yang tinggal di Kondominium Puncak Banyan, jalan alternatif telah siap diturap sejak hari pertama kejadian dan dibuka untuk kegunaan penduduk.

Sebagai akses keluar masuk, lencongan dan penutupan sementara sebahagian laluan di Persiaran Alam Damai untuk
kedua-dua arah berkuat kuasa serta merta, sehingga kerja-kerja pembaikan selesai.

Bagi pengguna dari arah Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2) yang ingin menuju ke Alam Damai akan dilencongkan ke Jalan Cerdas (Pasar Malam Taman Connaught) untuk keluar ke Jalan Alam Damai berhampiran OCBC Bank.

Menurutnya, semasa penutupan dijalankan, hanya penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran penutupan (Mandarina, Puncak Banyan Condominium, Altitude 236 dan penduduk yang terlibat) yang dibenarkan menggunakan laluan tersebut.

Penempatan pengawal trafik dan lalu lintas, kon keselamatan dan papan tanda amaran dan arah telah diletakkan di sepanjang laluan yang terlibat.

SUKE menasihatkan pengguna laluan terbabit agar mematuhi papan tanda arah, kelajuan dan keselamatan serta arahan kakitangan bertugas untuk perjalanan yang lancar dan selamat di sepanjang laluan tersebut, serta gunakan laluan alternatif yang dicadangkan bagi mengelakkan kesesakan. – MalaysiaGazette