Home Ekonomi MdI tambah kemudahan bayar hutang guna kad kredit, kad debit

MdI tambah kemudahan bayar hutang guna kad kredit, kad debit

Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI)

KUALA LUMPUR – Orang awam kini boleh membayar hutang menerusi kad kredit dan kad debit di kaunter bayaran Ibu Pejabat dan 21 cawangan Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) seluruh negara.

Ia merupakan kemudahan terbaru yang disediakan MdI sebagai inisiatif untuk menambah saluran bayaran.

Dalam satu kenyataan di sini, MdI berkata, pemasangan terminal pembayaran telah selesai dilaksanakan di ibu pejabat pada 17 Mac lalu dan sedang diperluaskan ke semua cawangannya di seluruh negara secara berperingkat.

“Selain pelaksanaan pembayaran secara dalam talian bagi deposit pempetisyen, bayaran ansuran dan carian status kebankrapan atau penggulungan syarikat di portal eInsolvensi, pembayaran melalui terminal kad debit dan kad kredit ini adalah satu lagi usaha MdI dalam memainkan peranan untuk menggalakkan pembayaran secara dalam talian dan ke arah cashless counter,” katanya.

Selain itu, MdI juga telah menyediakan Pelan Pendigitalan MdI 2021 hingga 2025 menerusi kerjasama dengan Affin Bank sebagai Acquiring Bank bagi saluran tambahan bayaran yang baharu ini adalah seiring dengan langkah transformasi MdI ke arah pendigitalan.

MdI percaya kerjasama itu membolehkan kedua-dua pihak dapat mengoptimumkan kemajuan teknologi dalam perkhidmatan kerajaan khsusunya pembayaran secara dalam talian dan seterusnya meningkatkan penyampaian perkhidmatan.

“MdI sentiasa berusaha untuk memudahkan orang awam berurusan di semua kaunter bayarannya. Selain pembayaran menggunakan kad debit dan kad kredit melalui terminal ini, penambahbaikan secara berterusan akan dilaksanakan dan pelbagai lagi saluran tambahan pembayaran di dalam talian akan diperkenalkan.

“Antara yang telah dirancang dan sedang diusahakan bersama Affin Bank adalah aplikasi telefon bimbit MdI sejajar dengan pelancaran MyDigital dan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 19 Februari lalu,” tambahnya. – MalaysiaGazette