KAJANG – Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) akan diperluaskan sebagai langkah proaktif untuk meningkatkan keberkesanan perkhidmatan organisasi itu.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia meliputi operasi khas bersepadu yang merentasi agensi tersebut.
“Kerajaan juga akan meneliti cadangan bagi inisiatif-inisiatif antaranya pembinaan kompleks pejabat dan pusat latihan di Negeri Perak, Sabah dan Sarawak untuk dilaksanakan dalam Rolling Plan 2 menerusi Rancangan Malaysia ke-12.
“Penambahbaikan atau penstrukturan semula jawatan tetap di pejabat-pejabat negeri dan daerah melalui Sekretariat Pengurusan Bencana,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Ulangtahun APM ke 69 di ibu pejabat APM, hari ini.
Jelas Muhyiddin, kompleks itu akan menjadi pusat pemindahan sementara untuk penduduk yang terkesan akibat bencana dan akan dilengkapi dengan Sistem Amaran Awam.
Sementara itu, Muhyiddin berharap APM akan terus memainkan peranan meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat setempat dalam menghadapi sebarang bentuk bencana dan kecemasan dengan adanya inisiatif-inisiatif itu.
“Ini termasuklah turun ke lapangan dengan kerap untuk mendidik atau mengadakan libat urus bagi meningkatkan kesedaran orang ramai.
“Langkah ini dapat memastikan mereka bersedia bertindak sebagai first-responder apabila berdepan dengan situasi kecemasan seperti bencana atau kebakaran,” katanya. – MalaysiaGazette