Home Politik Sesiapa sahaja boleh buat perbincangan kerjasama politik – Redzuan

Sesiapa sahaja boleh buat perbincangan kerjasama politik – Redzuan

Datuk Seri Redzuan Md Yusof. Foto AFFAN FAUZI, 11 FEBRUARI 2021.

KAJANG – Parti politik boleh membuat rundingan dengan parti politik lain sekiranya ia menguntungkan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, samada wujud atau tidak kerjasama antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan UMNO, ia hanyalah satu langkah politik semata-mata.

“Kalau ia menguntungkan dari sudut tadbir urus negara yang baik saya rasa sesiapa pun boleh bincang,” katanya pada sidang media sempena Sambutan Ulangtahun Angkatan Pertahanan Awam (APM) ke 69, hari ini.

Pada majlis tersebut, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merasmikan bangunan baharu ibu pejabat APM.

Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mastura Mohd Yazid.

Redzuan menyatakan demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu tidak akan bekerjasama dengan PKR pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Memetik laporan akhbar The Star, Ahmad Zahid menjelaskan, UMNO hanya akan menjalinkan kerjasama dengan rakan komponen di bawah Barisan Nasional (BN) sahaja.

Malah Ahmad Zahid berkata, UMNO tidak mempunyai sebarang perbincangan bersama PKR mengenai kerjasama pilihan raya dan sebarang perjanjian hanya akan diterokai selepas PRU15.

Pada 17 Mac lalu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan wujud perbincangan tidak rasmi antara pemimpin kedua-dua parti terbabit. – MalaysiaGazette