Home Nasional TPA-16 komited pantau proses damai di selatan Filipina – Affendi Buang

TPA-16 komited pantau proses damai di selatan Filipina – Affendi Buang

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang menyerahkan Jalur Gemilang kepada Ketua Misi TPA M-16, Mejar Jeneral Datuk Hamdan Ismail (tengah) sebagai gimik Perasmian Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao 16 di di Wisma Perwira, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 24 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao Ke-16 (TPA-M16) akan berlepas ke Mindanao Filipina pada 26 Mac ini untuk meneruskan tugas pemantauan dan mengawasi proses gencatan senjata antara kerajaan Filipina dan barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Affendi Buang berkata, misi kumpulan induk TPA-M16 yang diketuai oleh Mejar Jeneral Datuk Hamdan Ismail dan dianggotai 16 orang pegawai termasuk dua pegawai Polis Diraja Malaysia, Pegawai Tadbir Diplomatik, pegawai Angkatan Tentera Malaysia daripada Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar dan Jabatan Perdana Menteri.

Secara keseluruhannya komposisi TIM ini melibatkan pelbagai agensi kerajaan merupakan satu usaha memperkukuhkan pendekatan Whole of Government seperti mana dihasratkan melalui Kertas Putih Pertahanan oleh kerajaan.

“TPA-M16 akan melaksanakan tugas berpandukan kepada Term of Reference (TOR) bagi memantau perjanjian gencatan senjata Filipina dan MILF manakala TIM TPA-M15 yang selesai misi 12 bulan di sana akan pulang 10 April ini.

Affendi Buang

“Ini komitmen negara kita kepada dunia luar khususnya Filipina atas prinsip menjunjung keamanan sejagat dan sangat berbangga dengan kepercayaan yang diberikan,” katanya dalam ucapan perasmian penghantaran TIM Pemantau Antarabangsa Mindanao Ke-16 di Wisma Perwira ATM, Jalan Padang Tembak hari ini.

Katanya, Tim TPA 16 terlibat akan menjalani kuarantin 14 hari sejurus mendarat di Manila sebelum bergerak ke Mindanao dengan pesawat komersial, seterusnya proses serah terima tugas pertukaran pasukan di sana dilaksanakan kelak.

Tambah Affendi Buang, kerjasama ini penting untuk memastikan keamanan serantau di Mindanao sentiasa kekal aman dan harmoni serta membantu Filipina dalam proses MORO mendapatkan kerajaan autonomi yang masih berjalan lagi.

Affendi Buang melekatkan Lencana TPA M-16 pada salah seorang anggota yang terlibat menyertai  Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao 16 di di Wisma Perwira, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 24 MAC 2021.

“Peranan TPA-16 sebaik tiba di Mindanao adalah amat kritikal dan mencabar tanggungjawab itu tapi berbekalkan semangat dan disiplin ia akan memastikan kita menjalankan tugas dengan efektif dan kondusif dengan kaedah diplomasi tanpa sebarang gangu-gugat.

“Feedback (maklum balas) Filipina ke atas pasukan kita juga sangat membanggakan dari segi komitmen yang kita berikan selama 15 tahun yang lalu sejak 2004 kerana dari segi sejarah penglibatan Malaysia Filipina sentiasa mengalu-alukan penyertaan kita di sana.

“Ada suatu ketika kita hentikan penghantaran kumpulan pemantau ke Mindanao namun Filipina menuntut kerjasama kita semula selepas ambil kira pencapaian dan keupayaan pegawai kita dalam membantu mengekalkan kedamaian di rantau itu, menambah kepercayaan negara itu ke atas Malaysia.

“Bagaimanapun bilangan anggota dan pegawai yang terlibat dalam misi ini masih kekal dan tiada penambahan kerana kita ada kerjasama dan sokongan pasukan negara lain juga di sana,” tegasnya.

Beliau dalam majis sama menaruh harapan tinggi kepada pasukan TPAM16 supaya sentiasa menanamkan sikap ambil tahu dan peka keadaan sekeliling selain berhati-hati setiap masa bagi mengelak terperangkap dalam situasi tidak diingini yang boleh memudaratkan diri serta rakan sepasukan sekaligus melumpuhkan usaha damai yang digarapkan.

“Taklimat awal diharap memberi gambaran awal kepada pasukan mengenai kehidupan yang bakal saudara sekalian lalui untuk setahun akan datang nanti dan memastikan keselamatan diri dan pasukan sentiasa terjamin,” ujarnya.- MalaysiaGazette