Home Sukan UiTM FC belum putus asa

UiTM FC belum putus asa

Foto Facebook UiTM FC.

KUALA LUMPUR – Sekadar meraih satu mata daripada lima perlawanan terakhir serta menduduki tangga tercorot sememangnya satu situasi memeritkan untuk diterima tetapi UiTM FC masih belum mengibarkan bendera putih dalam persaingan Liga Super, musim ini.

Pertahanan UiTM FC, Ahmad Khuzaimi Piee menjelaskan, tempoh rehat selama dua minggu ini akan digunakan sepenuhnya oleh mereka dalam mengkaji semula kelemahan serta cuba membina keyakinan semua pemain.

Biarpun barisan pemain tempatan UiTM rata-rata merupakan pelajar, bekas pertahanan Melaka dan PKNP itu tidak melihat ia sebagai kekurangan sambil menyifatkan kualiti dimiliki mereka mampu bersaing dengan pemain dari pasukan lain.

“Dalam bola sepak sememangnya ada menang dan ada kalah cuma musim ini kalau tengok kami banyak peluang untuk menjaringkan gol cuma belum ada rezeki yang berpihak kepada kami.

“Kami sebenarnya pasukan underdog, sama seperti musim lalu dan benda itu tidak jadi masalah jika hendak dibandingkan dengan pasukan-pasukan besar kerana perbandingan itu akan berikan semangat untuk pemain bagi komitmen 100 peratus di atas padang.

“Saya masih mempunyai keyakinan UiTM akan bangkit serta bersaing kerana ada peningkatan yang ketara dalam kalangan pemain muda seperti Rafie Mat yang sangat berbeza dilihat pada musim ini beserta pemain-pemain lain termasuk di bangku simpanan,” katanya kepada Liga Bola Sepak Malaysia.

Satu-satunya keputusan seri yang berjaya diraih oleh UiTM pada musim ini ialah ketika mengikat Penang FC di Stadium Bandaraya dan tewas dalam empat perlawanan lain membabitkan pertemuan dengan Terengganu FC (1-2), Kuala Lumpur City FC (0-1), Johor Darul Ta’zim (0-4), dan Kedah Darul Aman FC (0-1).

Malah, UiTM setakat ini hanya mampu menjaringkan satu gol dalam lima perlawanan, muncul pasukan yang paling rendah daripada 23 pasukan yang sedang bersaing di Liga Malaysia termasuk Liga Premier.

Khuzaimi antara pemain yang mula mencipta nama ketika di Melaka pada musim 2016 semasa muncul juara Liga Premier dan beraksi di Liga Super pada musim berikutnya sehingga pernah meraih panggilan skuad kebangsaan dan diturunkan pada perlawanan berdepan Afghanistan pada tahun 2016.

Sementara itu, Khuzaimi akui UiTM berdepan dengan kesukaran musim ini melibatkan pemain import dengan yang terbaharu, Adam Reed telah memilih pulang ke Filipina sementara penjaga gol, Dominik Picak mengalami kecederaan.

“Pasukan musim ini jika hendak dibandingkan dengan musim lepas, sememangnya ada banyak kekurangan dalam soal import apabila Adam telah pun balik ke Filipina.

“Satu lagi, musim ini juga liga berbeza kerana perjalanan sangat panjang berbanding sebelum ini, jadi sudah tentu tahap permainan akan berbeza antara dulu dengan sekarang.

“Saya harap kami semua pemain tempatan mampu mengisi ruang ditinggalkan serta menyeru rakan-rakan sepasukan agar tidak berputus asa dengan keadaan sekarang dan mampu berjuang ke penamatnya, “ katanya. – MalaysiaGazette