KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sedang mengenal pasti waris tiga pekerja yang maut dalam kemalangan di tapak projek pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Persiaran Alam Damai Isnin lalu.
Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Mohamed Azman Aziz Mohammed berkata, proses itu bertujuan memastikan tiga waris pekerja warganegara China itu menerima faedah di bawah Skim Bencana Pekerjaan.
“Kalau melibatkan kematian, waris yang akan dapat. Kita akan proses kenal pasti siapa waris dan buat pembayaran.
“Kalau seperti kemalangan baru-baru ini, pertama sekali pasukan Perkeso KL akan cari waris dan kenal pasti,” katanya dalam sidang media pada Mini Karnival PenjanaKerjaya Kementerian Sumber Manusia Untuk OKU yang dianjurkan Perkeso di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian struktur kren jatuh di tapak pembinaan SUKE di Persiaran Alam Damai, di sini baru-baru ini.
Kemalangan itu mengakibatkan tiga pekerja projek pembinaan maut, manakala seorang pemandu kereta Beza yang menggunakan jalan raya di kawasan tersebut cedera parah.
Mengulas lanjut, Mohamed Azman berkata, walaupun mangsa merupakan warga negara asing majikan tetap membuat caruman justeru waris mereka layak menerima pampasan.
Sementara itu, katanya, Perkeso juga telah mengesan waris dua pekerja yang maut akibat runtuhan jambatan lebuh raya SUKE berhampiran lebuh raya MRR2 pada 3 Mac lalu.
Kedua-dua pekerja yang meninggal merupakan antara lima penumpang van pekerja. -MalaysiaGazette