Home Utama Bekas Timbalan Pendakwa Raya diburu berhubung kes ‘Datuk Seri Nicky’

Bekas Timbalan Pendakwa Raya diburu berhubung kes ‘Datuk Seri Nicky’

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memeriksa barisan kawalan kehormatan pada perbarisan sempena sambutan Hari Polis ke-214 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini.

JOHOR BAHRU – Polis Johor sedang mengesan seorang bekas Timbalan Pendakwa Raya bagi membantu siasatan kes berkaitan pengubahan wang haram dan jenayah komersial di negeri itu.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata lelaki yang diburu itu dikenali sebagai Md Azar Izwan Mohd Arifin @ Datuk A. Janus, 42, dan beralamat terakhir di Puchong, Selangor.

Beliau berkata lelaki terbabit merupakan individu penting dalam kegiatan sindiket penipuan selain mempunyai kaitan dengan kes Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee, 33.

“Bekas Timbalan Pendakwa Raya itu telah menamatkan perkhidmatan dan dipercayai sudah melarikan diri. Individu atau ahli keluarga yang mempunyai maklumat berkaitan beliau, sila berhubung dengan ASP V. Prakash di talian 012-5209767,” katanya pada sidang media selepas majlis perbarisan sempena sambutan Hari Polis ke-214 di sini hari ini.

Ayob Khan berkata sehingga kini, seramai 92 individu yang mempunyai kaitan dengan sindiket berkaitan ‘Datuk Seri Nicky’ berjaya ditahan di Puchong baru-baru ini.

Menurutnya, pihaknya yakin ada individu lagi yang akan diberkas dalam masa terdekat ini.

“Daripada 92 individu yang ditahan itu, 40 daripadanya ditahan mengikut Sosma (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012) dan bakinya kita buat tapisan, sama ada mereka terlibat atau tidak terlibat secara langsung sebelum dibebaskan,” katanya.

Ahad lepas, Polis Johor mengedarkan butiran dan gambar ‘Datuk Seri Nicky’ yang merupakan pengasas Winner Dynasty Group, yang diburu selepas dipercayai terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan jenayah komersial di negeri ini.- BERNAMA