KUALA LUMPUR – Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan semakin menunjukkan tanda-tanda positif apabila jumlah pemberian dos vaksin Covid-19 kini sudah melepasi 500,000 penerima suntikan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba dalam satu infografik yang dikongsikan di laman Twitter rasminya hari ini berkata, daripada jumlah itu seramai 510,976 individu telah menerima suntikan vaksin tersebut setakat semalam.
“Seramai 436,687 menerima suntikan dos pertama, manakala 74,289 individu telah melengkapkan kedua-dua suntikan vaksin tersebut,” ujarnya.
Dalam pada itu Selangor menerima vaksin tertinggi dengan 60,521 dos diikuti Perak dengan 48,526 dos.
Selain itu, Sabah (41,414) diikuti Kuala Lumpur (37,616), Sarawak (36,244), Pahang (32,320), Johor (32,320), Pulau Pinang (31,189), Kedah (26,310), Kelantan (19,755), Terengganu (20,055), Negeri Sembilan (21,017), Melaka (11,094), Perlis (9,530), Putrajaya (4,621) dan Labuan (2,345).
Dr. Adham turut memperincikan jumlah individu yang telah melengkapkan kedua-dua suntikan vaksin berkenaan.
Sarawak menjadi negeri mencatatkan jumlah tertinggi dengan 10,643 penerima, Kelantan 7,922 dan Kuala Lumpur (7,768).
Diikuti Perak dengan 7,197 penerima, Pahang (7,162), Johor (5,666), Terengganu (4,601), Kedah (4,469), Selangor (4,224), Negeri Sembilan (2,942), Pulau Pinang (2,756), Melaka (2,545), Sabah (1,796), Labuan (1,567), Perlis (1,561) dan Putrajaya 1,469 penerima.
Program imunisasi yang dilancarkan pada 24 Februari lalu oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin rata-rata menyasar untuk memberikan imunisasi secara percuma kepada penduduk negara ini baik rakyat tempatan mahupun warga asing. – MalaysiaGazette