SACABA – Seorang wanita berusia 22 tahun terbunuh manakala saudara lelakinya cedera ketika jet tentera udara terhempas di kediaman mereka di Bolivia semalam.
Pihak berkuasa berkata, tidak ada mangsa lain yang terkorban.
Sementara itu, menurut saksi mereka melihat terdapat dua juruterbang keluar dari pesawat sebelum ia meletup dan merempuh rumah dua tingkat itu.
Tentera udara Bolivia mengenal pasti pesawat malang itu sebagai model K-8, jet pejuang keluaran bersama China dan Pakistan.
Sehubungan kejadian, Komandan polis daerah Kolonel Jhonny Corrales memaklumkan salah seorang juruterbang dirawat di sebuah hospital di kota Cochabamba sementara seorang lagi diminta memberi keterangan berhubung kemalangan itu.
Jelasnya, pesawat berkenaan menghadapi masalah mekanikal ketika penerbangan.
“Bagaimanapun, pihak kami juga ingin memuji semangat kejiranan di situ kerana bertindak pantas dalam membantu memadamkan api di tempat kejadian.
“Saya diberitahu orang awam mula bertindak pantas membantu dengan mematikan gas dan eletrik serta memadamkan kebakaran dengan membawa baldi yang dipenuhi air,” katanya.
Untuk maklumat lanjut, penyiasat tentera udara sudah berada di lokasi nahas bersama anggota bomba dan beberapa anggota agensi penguatkuasaan undang-undang. -MalaysiaGazette