KOTA BHARU – Seorang konstabel polis di Balai Polis Meranti, Pasir Mas, cedera pada bahagian paha kirinya selepas terkena tembakan sendiri ketika proses mengosongkan senjata api, malam tadi.
Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata dalam kejadian pukul 11.42 malam, anggota berusia 29 tahun itu terkena tembakan selepas peluru di dalam pistol dikatakan meletup secara tiba-tiba.
“Berdasarkan laporan diterima, kejadian berlaku ketika anggota terbabit selesai dalam tugas Ronda Cegah Jenayah dan mahu menyerahkan senjata api jenis pistol separuh automatik.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-214 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.
Shafien berkata siasatan awal mendapati semasa anggota itu sedang mengeluarkan kelopak peluru dari pistol, secara tiba-tiba satu das tembakan telah dilepaskan secara tidak sengaja dan peluru telah menembusi paha anggota terbabit.
Beliau berkata anggota berkenaan kini stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.
Beliau berkata polis akan menjalankan siasatan lanjut mengenai insiden itu untuk melihat sama ada ia satu kecuaian atau sebaliknya.
— BERNAMA