KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengumumkan peruntukan sebanyak RM15 juta bagi bantuan modal kepada mereka yang ingin memula atau mengembangkan perniagaan melalui Musa’adah Tijariyyah.
Pengerusi MAIWP, Datuk Dr. Mohd Daud Bakar berkata, bantuan ini adalah bertepatan dalam era Covid-19 kerana ramai orang yang hilang pekerjaan dan terjejas pendapatan.
”MAIWP akan membantu penerimanya dengan menyalurkan bantuan modal daripada dana zakat,” kata beliau semasa berucap di Program Transformasi Asnaf Jaya (PROTAJ) Baitulmal MAIWP.
Menurut beliau lagi, para peserta juga akan diberikan kursus asas keusahawanan yang menjadi pra syarat sebelum bantuan disalurkan.
Kursus ini membolehkan para peserta membuat persediaan dan perancangan baik dari sudut kewangan dan emosi sebelum
memulakan perniagaan.
Berbeza dengan Bantuan Perniagaan sedia ada yang ditawarkan oleh MAIWP, Musa’adah Tijariyyah ini tidak mensyaratkan pemohonnya memiliki sijil Pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang masih sah selama 6 bulan, sebaliknya mereka yang mempunyai pendaftaran dengan SSM selama dua bulan sahaja dan masih aktif, layak untuk memohon bantuan ini.
Syarat lanjut boleh didapati di laman web www.maiwp.gov.my.
Permohonan Musa’adah Tijariyyah ini dibuka mulai 25 Mac 2021 sehingga 5 April 2021 yang boleh dibuat secara dalam talian di laman web MAIWP atau menerusi kaunter Baitulmal MAIWP Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. – MalaysiaGazette