KUALA LUMPUR – RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) mengekalkan tinjauan stabil terhadap sektor perbankan Islam Malaysia.
Ia berkata, industri kewangan Islam dijangka dapat memacu pengembangan kredit sistem perbankan domestik secara keseluruhan pada tahun 2021.
Walaupun berada dalam situasi pandemik COVID-19, sektor perbankan Islam Malaysia berjaya mencatatkan pertumbuhan pembiayaan yang agak kukuh iaitu sebanyak 8.1 peratus pada 2020, sementara bank konvensional hanya naik sebanyak satu peratus, kata agensi penarafan itu dalam satu nota hari ini.
‘’Justeru, kami telah menetapkan pertumbuhan pembiayaan sebanyak tujuh peratus untuk industri perbankan Islam tahun ini, didorong oleh pembiayaan isi rumah, berbanding dua peratus oleh perbankan konvensional,” kata beliau.
Wong berkata, nisbah pembiayaan rosot nilai kasar perbankan Islam dijangka meningkat kepada kira-kira 2.0 peratus pada akhir 2021 berbanding 1.3 peratus pada akhir Disember 2020, di mana ia jauh lebih baik daripada perbankan konvensional iaitu pada sekitar 2.5 peratus.
Industri ini mungkin berada dalam kedudukan mudah tunai yang kukuh tahun ini di tengah-tengah imbangan akaun semasa dan simpanan (CASA) yang lebih tinggi, sebahagian besarnya dibantu oleh pembiayaan moratorium, katanya.
Keuntungan sektor perbankan Islam juga dijangka meningkat dengan margin yang lebih luas dan ketiadaan kerugian yang diubah suai, walaupun peruntukan akan tetap meningkat, tambahnya. – MalaysiaGazette