Home Politik Hak pengundi 18 tahun dicabul – AMK Kuala Selangor

Hak pengundi 18 tahun dicabul – AMK Kuala Selangor

KUALA LUMPUR – Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan Undi18 ke September 2022 dianggap  mencabul hak golongan muda.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kuala Selangor, S.S Selventhiran berkata, alasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membantutkan proses persediaan untuk melaksanakan Undi18 yang diberikan SPR tidak masuk akal.

“AMK Kuala Selangor  kekal berpendirian bahawa pelaksanaan penurunan had umur pengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun tetap perlu dilaksana seperti yang dirancang.

“Kelulusan pindaan terhadap Undi 18 tahun adalah satu kejayaan bi-partisan kerana belum pernah ada pindaan perlembagaan yang mendapat sokongan sebulat suara.

“Pindaan ini membuka peluang kepada anak muda untuk terlibat secara langsung dalam menentukan dasar pembangunan negara serta merancakkan demokrasi negara.

“Keputusan ini mencabul hak pengundi 18 tahun akibat kemelut politik yang sedang melanda negara, sememangnya ini sungguh mengecewakan dan mengundang pelbagai persoalan ketika ini apakah sebenarnya agenda disebalik keputusan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Selventhiran, anak muda perlu diasah dan diberi kesedaran berkaitan politik dari awal lagi supaya mereka tidak mudah dipergunakan oleh golongan tertentu.

Berikutan itu, Selventhiran mencadangkan supaya satu pelan menyeluruh berkenaan rancangan pelaksanaan Undi18  dibentangkan kepada umum. – MalaysiaGazette