PETALING JAYA – Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menjangkakan jumlah jualan kenderaan mencatat angka lebih kukuh pada separuh pertama 2021 berbanding separuh kedua susulan langkah kerajaan melanjutkan insentif pengecualian cukai jualan.
Presidennya, Datuk Aishah Ahmad berkata lanjutan insentif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) sehingga 30 Jun 2021, juga berperanan penting dalam membantu memacu jualan kenderaan bagi tempoh separuh pertama tahun ini.
“Ada kemungkinan jualan tersebut akan berkurangan dalam masa tiga bulan selepas berakhirnya program itu sebelum ia meningkat semula.
“Namun, kami juga belum mengemukakan sebarang permohonan kepada kerajaan supaya pengecualian cukai itu dapat dilanjutkan lagi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat agung tahunan MAA 2021 di sini, pada Jumaat.
Mengulas selanjutnya, Aishah turut menjangkakan jumlah jualan kenderaan bagi bulan ini akan meningkat berbanding Februari lepas memandangkan kebanyakan pengeluar kereta Jepun melonjakkan usaha penghantaran masing-masing bagi meraih data positif membabitkan keputusan kewangan tahunan pada akhir Mac.
“Langkah Jabatan Pengangkutan Jalan menyambung semula perkhidmatan, termasuk membabitkan transaksi kenderaan, juga membantu dari segi mendorong jualan pada Mac,” katanya.
Selain itu, Aishah berkata MAA masih mengekalkan unjuran jumlah keseluruhan industri sebanyak 570,000 kenderaan bagi 2021 walaupun angka jualan rendah pada Januari dan Februari lepas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
“Impak pelaksanaan inisiatif PENJANA itu masih membantu melonjakkan permintaan besar terhadap kenderaan. Oleh itu, kami berharap jumlah jualan ini akan bertambah baik pada bulan-bulan akan datang,” katanya.- BERNAMA
J