KUALA LUMPUR – Setiausaha Sulit kepada Timbalan Menteri Wilayah Menteri, Datuk Seri Dr Santhara Kumar, Dineshwaran T. Rajagopalu menyelar pihak tidak bertanggungjawab yang mengkritik tanpa berasaskan fakta.
Dineswaran berkata, dakwaan Santhara tidak menunjukkan prestasi baik sebagai Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen Segamat adalah tidak benar dan ia hanya untuk mengundang rasa tidak senang dalam kalangan rakyat.
“Berhubung dengan satu kenyataan media oleh Datuk R Sanjeevan, saya tidak akan mengulas lanjut mengenai isu YB Datuk Seri Santhara ke New Zealand kerana ia telah dijelaskan sebelum ini oleh YB Datuk Seri Dr Santhara berserta dengan bukti yang berkaitan.
“Namun begitu, sebagai Setiausaha Sulit kepada YB Datuk Seri Dr Santhara saya ingin menyangkal mengenai dakwaan bahawa YB Datuk Seri Dr Santhara tidak menunjukkan prestasi yang baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, semua tugasan dan program di Parlimen Segamat dan kementerian itu tetap dilaksanakan berdasarkan arahan dari semasa ke semasa dan dipantau Santhara ketika mengambil cuti rehat dan cuti tanpa gaji.
Tambah beliau, pegawai Pejabat Ahli Parlimen Segamat dan Pejabat Kementerian Wilayah Persekutuan akan memberi respon segera untuk setiap isu yang dirujuk kepada mereka dan ia ditangani dalam tempoh tujuh hari.
“Seandainya Sanjeevan perlukan butiran, saya sangat berbesar hati untuk berikan kepada beliau,” ujarnya.
Pada 23 Disember lalu Santhara berlepas ke New Zealand untuk melawat tiga anaknya yang sedang melanjutkan pelajaran di negara itu dan isterinya yang sakit.
Beliau diberikan cuti selama 55 hari oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa bermula 28 Disember hingga 20 Mac lalu.
Santhara telah pulang ke Malaysia dan sedang menjalani kuarantin wajib dan hanya menjalankan tugas dari rumah.
Sementara itu, Dineshwaran meminta Sanjeevan menumpukan perhatian dalam membersihkan reputasi beliau dengan pelbagai pertuduhan termasuk pemerasan.
“Adalah tidak wajar untuk mengaku diri sebagai aktivis sosial jika dengan tuduhan-tuduhan seperti ini,” dakwanya. – Malaysiagazette