Home Politik Undi18: Beri ruang kepada SPR – Annuar

Undi18: Beri ruang kepada SPR – Annuar

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa bercakap pada Majlis Penyerahan Kunci Residensi Razakmas 2 di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 26 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Mungkin terdapat perkara berbangkit yang menyebabkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat penangguhan pelaksanaan Undi 18 (Undi18) ke tahun hadapan.

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, semua pihak perlu memberi ruang yang secukupnya kepada badan bebas itu untuk menyelesaikan terlebih dahulu isu-isu tertentu terutamanya daftar pemilih.

“Daripada segi teknikalnya kita serahkan kepada SPR dan berkemungkinan ada peraturan tertentu yang mesti disiapkan sebab untuk menyiapkan daftar pemilih bukan satu perkara yang mudah.

“Saya difahamkan apabila kita menjadikan umur kelayakan itu automatik timbul persoalan di mana dia akan mengundi samada nak ikut alamat kad pengenalan ataupun dia mempunyai pilihan untuk mengundi di mana.

“Kemudian ada ke tidak bantahan macam ada sekarang kalau orang itu memohon di satu tempat, namanya mesti dipamerkan dan orang boleh bantah sebab mungkin berlaku manipulasi sengaja pergi daftar di tempat yang bukan layak dia mengundi di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media majlis penyerahan rumah kepada 395 pemilik kediaman Residensi Razakmas2 yang disempurnakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

Annuar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh bahawa Pendaftaran Pemilih Automatik dan Undi18 dijangka boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022 ekoran perkembangan dan situasi semasa negara yang masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

SPR sebelum ini berkata, laporan awal Undi18 akan tersedia pada September tahun ini.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, suruhanjaya itu memerlukan masa untuk memastikan semua yang berkaitan dengan pelaksanaan Undi18 dapat dilaksanakan sepenuhnya selepas 1 September 2022.

“Saya difahamkan SPR memerlukan masa dan dijangkakan menjelang bulan Jun 2022 semuanya sedia untuk dilaksanakan. Yang penting adalah sewaktu kita membuat keputusan itu adalah selepas PRU14 dan dimaksudkan untuk PRU15 tempohnya pada 2023. Kita harap sebelum PRU15 hendakkan perkara itu dilaksanakan.

“Tapi bila mereka dapat siapkan perkara itu kita berikan ruang kepada SPR untuk mengatur secara tersusun kerana ini ada migrasi sistem daripada sistem yang kita pakai sekarang kepada satu sistem yang baru dan melihat penambahan pengundi sejumlah 5.6 juta termasuk 1.2 juta pengundi yang berusia 18 ke 20 tahun. (Sebanyak) 4.6 juta lagi pengundi yang layak tapi tak didaftarkan di bawah sistem lama,” katanya.

Pada Julai tahun lalu, Dewan Rakyat sebulat suara bersetuju untuk meminda perenggan (b) Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan.

Sejumlah 211 Ahli Parlimen bersetuju untuk menurunkan umur warganegara yang layak menjadi ahli Dewan Rakyat daripada 21 kepada 18 tahun.

Malah ia turut meminda perenggan (a) Fasal 1 Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur seseorang warganegara yang layak untuk mengundi daripada 21 kepada 18 tahun. – MalaysiaGazette