Home Politik Biar MT buat keputusan hubungan Bersatu, tangguh pemilihan hadapi PRU-15

Biar MT buat keputusan hubungan Bersatu, tangguh pemilihan hadapi PRU-15

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berjalan keluar selepas pada Persidangan Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MALAYSIA GAZETTE, 27 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO hari ini meletakkan sepenuhnya kepada Majlis Tertinggi (MT) untuk memutuskan keputusan mengenai kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Perkara itu kata ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memperlihatkan kepada kenyataan terbaharu Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bersedia bertanding di semua kerusi yang ditandingi UMNO.

“Baru sahaja tadi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin umumkan untuk bertanding di semua kerusi yang ditandingi UMNO. Maknanya apa, memang jelas beliau sudah beri isyarat tidak akan berkompromi dengan kerusi yang kita tandingi.

“Mereka nak bertanding di semua kerusi UMNO. Hari ini enam negeri mohon kita putuskan hubungan dengan Bersatu,” katanya dalam sesi penggulungan sayap Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2020) hari ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. Foto MALAYSIA GAZETTE, 27 MAC 2021.

Asyraf berkata demikian merujuk kepada kenyataan Muhyiddin bahawa Bersatu akan mempertahankan semua kerusi yang pernah ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sekiranya UMNO tidak mahu bertoleransi melepaskan kerusi berkenaan pada PRU-15.

Malah, Ahli Parlimen Pagoh itu juga menegaskan beliau tidak mempunyai halangan sekiranya UMNO tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya itu nanti.

Justeru itu, Asyraf berkata, UMNO perlu menggerakan sebuah jawatankuasa untuk memberikan tawartan baharu kepada pengundi sempena PRU15, kelak.

“Saya cadangkan tawaran baru kita wujudkan pasukan khas Pemuda dan tawarkan tawaran yang lebih segar kepada rakyat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, sayap Pergerakan Wanita UMNO pula menuntut agar parti itu mendahului usaha memastikan lebih banyak penyertaan wanita dalam pilihan raya.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.Foto MALAYSIA GAZETTE, 27 MAC 2021.

Ketuanya, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, UMNO harus mengorak langkah memulakan inisiatif penggubalan undang-undang bagi melaksanakan satu polisi mewajibkan kuota 30 peratus penyertaan wanita dalam pilihan raya.

“Penyertaan wanita dalam kepimpinan politik masih jauh ke belakang. Seperti mana yang dimaklumkan oleh pembahas tadi, penglibatan wanita dalam politik ketika ini hanya 10.8 peratus sahaja berbanding lelaki.

“UMNO sebagai parti yang sudah matang harus menjuarai agenda pemerkasaan ini. Calon-calon wanita perlu diletakkan di tempat yang boleh menang. Jangan letak semua di kawasan yang sukar. Pelaksanaannya perlu jujur, bukan sekadar melepaskan batuk di tangga,” katanya dalam sesi penggulungan sayap itu, hari ini.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan pula mencadangkan parti agar pemilihan parti itu yang dijadualkan penghujung tahun ini agar dihentikan terlebih dahulu.

Ini kerana parti perlu memberikan fokus kepada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) yang mungkin diadakan selepas berakhirnya pelaksanaan darurat di negara ini.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan. Foto MALAYSIA GAZETTE, 27 MAC 2021.

“Tiada guna menang pilihan raya jika tidak berkuasa, simpan dulu cai-cai yang ada itu. Tolong,” katanya juga dalam sesi penggulungan bagi sayap itu hari ini.

Puteri UMNO sebelum ini mencanangkan agar parti itu menolak sebarang kerjasama dengan PKR, DAP malah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU-15 kelak. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kerjasama atau tidak, itu pilihan UMNO – Muhyiddin