KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican tidak menolak kemungkinan untuk membangkitkan semula isu pendaftaran pemilih secara automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun ke dalam mesyuarat Kabinet.
Menurutnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak sepatutnya menangguhkan kesemua komponen Undi 18 tahun itu hingga ke September tahun depan sedangkan ia boleh dilaksanakan mengikut komponen.
“Perkara ini saya akan bangkit semula dalam Kabinet sebab sejak awal lagi saya sudah buat gesaan supaya SPR kena tampil buat engagement dan bila mana mereka mengatakan terpaksa melakukan pada September 2022.
“Pindaan Perlembagaan merangkumi empat komponen itu menurunkan umur mengundi, membenarkan 18 tahun menjadi calon Parlimen dan calon DUN serta pendaftaran pemilih secara automatik.
“Tidak bolehkah ada kewajaran untuk SPR sekurang-kurangnya lakukan dulu, dengan cara itu boleh memberi hak kepada umur 18 tahun boleh mengundi tapi kaedahnya mereka terpaksa daftar dahulu,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Pada Khamis lalu, SPR dalam kenyataannya memaklumkan pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.
Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya harus bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19.
Reezal Merican yang juga Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas melihat kesukaran melaksanakan Undi 18 itu sebenarnya terletak pada peringkat pendaftaran pemilih secara automatik.
“Kalau ada pun hambatan lain, mungkin yang lain itu dianggap lebih mudah sebab pindaan sudah dibuat dan perlu ada pengwujudan peraturan tertentu dalam tatacara dan sebagainya.
“Dengan meletakkan pertangguhan sampai tahun depan itu saya saya fikir adalah satu yang tidak memberi signal yang betul, kita tak tunaikan janji sebab kita sudah berjanji pada 2019,” katanya lagi. – MalaysiaGazette