KUALA LUMPUR – UMNO berpendapat Piagam Muafakat Nasional (MN) belum terlambat untuk dimulakan dengan pihak terbabit kembali ke pangkal jalan memandangkan ia belum sampai ke penghujungnya.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu yakin permuafakatan tersebut akan mendapat sokongan padu dalam kancah politik negara dan membuka ruang kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) kembali menerajui negara.
Kata beliau, UMNO sebagai rakan kongsi politik akan terus jujur untuk menterjemahkan piagam dan perjanjian persefahaman berkenaan kerana ianya merupakan doa dan
harapan ummah keseluruhannya.
“Kaki kita mesti berpijak di tapak yang sama. Tapak yang berbeza tidak menjanjikan sebarang keberuntungan. Apatah lagi, pertambahan kerusi.
“Yakinlah Muafakat Nasional yang teguh mampu menjelmakan kekuatan politik untuk kita semua.
“Sesungguhnya Muafakat Nasional inilah merupakan langkah dinamik ke arah reset politik di negara ini,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut berkongsi rasa kecewa apabila tiba-tiba pendirian politik telah mula berubah setelah menyertai sebahagian daripada kerajaan.
Jelas beliau, UMNO hanya menyokong pembentukan sebuah kerajaan yang kemudiannya dinamakan Kerajaan Perikatan Nasional.
Namun menurutnya, tidak disangka, ada pihak membentuk gabungan parti politik yang juga dinamakan Perikatan Nasional tanpa penyertaan UMNO.
“Kita telah mempersetujui dalam mesyuarat Muafakat Nasional untuk tidak tergesa-gesa menyertai mana-mana gabungan parti-parti politik. UMNO tetap tegas dengan pendirian ini.
“Kedua-dua kaki UMNO tetap berpijak di bumi yang sama. Sikap politik UMNO tidak akan seperti lalang ditiup angin,” katanya. – MalaysiaGazette
jadi seorang yg realistik la…semua benda ko nk kawal..mana boleh bro