KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki merakam video di dalam tandas perempuan di sebuah kilang di Taman Perindustrian Selayang, Batu Caves di sini.
Perbuatan suspek yang berumur 42 tahun itu terbongkar apabila seorang pekerja wanita menjumpai kamera tersembunyi dalam tandas ketika dia hendak membuang air pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, ketika mangsa tunduk, dia ternampak satu kamera berbentuk pen berwarna hitam tersembunyi di bawah sinki dalam tandas tersebut.
“Pengadu (mangsa) kemudian telah mengambilnya dan membawa pulang ke rumah sebelum memeriksa pen tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, hasil pemeriksaan mangsa mendapati terdapat beberapa rakaman video dilakukan ketika rakan sekerja mangsa sedang membuang air di tandas tersebut.
Menurut Arifai, mangsa mengesyaki pen tersebut adalah milik seorang pekerja yang dikenalinya kerana terdapat paparan muka suspek di dalam rakaman video itu ketika dia meletak dan mengambil kamera tersebut.
Berikutan itu, wanita tersebut memaklumkan kepada majikannya dan membuat laporan polis, ujarnya
Bertindak atas maklumat dan laporan polis, Arifai berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menyerbu sebuah kilang di Taman Perindustrian Selayang pada jam 11 pagi 26 Mac lalu dan menahan suspek.
“Hasil siasatan mendapati suspek bertindak berseorangan meletakkan kamera di bawah sinki dalam tandas perempuan di kilang tersebut bagi tujuan rakaman video untuk kepuasan diri dan dia didapati melakukan perbuatan terkutuk itu sejak awal bulan Mac 2021,” katanya.
Jelas beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Tambahnya, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang dan dibenarkan tahan reman selama empat hari mulai 27 Mac hingga 30 Mac ini untuk membantu siasatan polis.
“Semakan lanjut suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau dan polis turut merampas sebatang pen kamera rakaman video berwarna hitam, kad memori sebagai barang bukti kes untuk melengkapkan siasatan untuk tindakan lanjut,” katanya.-MalaysiaGazette