Home Utama Fasa kedua PICK pada 19 April ini

Fasa kedua PICK pada 19 April ini

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin pada sidang media mingguan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Kerajaan akan memulakan fasa kedua Program imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) pada 19 April ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, bagi tujuan itu temu janji akan mula diberikan melalui aplikasi MySejahtera, panggilan telefon dan mesej pesanan ringkas (SMS) bermula 5 April ini.

Katanya, tarikh itu adalah bersamaan dua minggu sebelum pemberian vaksin Covid-19 fasa kedua dimulakan.

“Fasa kedua ini kita akan mulakan dengan keutamaan diberikan kepada warga emas,” katanya pada sidang media mingguan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di sini hari ini.

Khairy Abu Bakar berkata, setakat ini, dua juta daripada sembilan juta golongan sasaran untuk fasa kedua sudah mendaftar dan pihaknya yakin bilangan itu akan meningkat.

Dalam perkembangan berkaitan Khairy memaklumkan, seramai 7,235,436 telah mendaftar bagi mendapatkan suntikan menerusi program berkenaan.

Katanya, jumlah itu merupakan sasaran 30 peratus yang diharapkan terhadap penduduk berusia 18 tahun keatas.

Jelasnya, peningkatan itu adalah sangat menggalakkan dan pihaknya berharap agar lebih ramai lagi akan mendaftar program tersebut.

Mengulas lanjut Khairy berkata, sejak semalam 580,765 dos vaksin telahpun diberi kepada penerima di Malaysia dan , dos pertama adalah berjumlah 451,655 dos.

Ujarnya, penerima yang lengkap diberikan dua dos setakat ini adalah seramai 129,110 orang.

Tambah beliau negeri yang paling ramai telah menerima vaksin adalah Selangor dengan jumlah sebnayak 75,317 orang diikuti Perak (59,305), Sarawak (57,034), Sabah (52,253) dan Wilayah Persekutuan (50,512) individu. – MalaysiaGazette