Home Pendapat Isu lambakan houseman belum ada solusi

Isu lambakan houseman belum ada solusi

Gambar hiasan
BAGI seorang pelajar perubatan, lulus peperiksaan akhir dan menjadi seorang doktor adalah satu kejayaan besar. Perjalanan untuk menjadi seorang doktor bukanlah mudah tetapi
memakan masa dari 5 hingga 7 tahun. Namun ini sebenarnya adalah satu permulaan perjalanan panjang yang penuh liku. Ini adalah masa untuk beradaptasi dengan suasana dan tanggungjawab sebenar sebagai seorang yang bergelar doktor.
Sejak tahun 2013, graduan perubatan bukan hanya dikeluarkan oleh beberapa Institusi Pengajian Tinggi (IPTA) seperti UM, UKM, USM, UPM, UIA, USIM dan juga pelajar tajaan JPA ke universiti luar negara yang diiktiraf, pertambahan IPTS yang saban tahun
mengeluarkan ramai graduan perubatan menyebabkan lambakan houseman (doktor pelatih) di hospital-hospital kerajaan. Belum ditambah lagi dengan penghantaran pelajar perubatan ke
universiti-universiti di Indonesia, Rusia dan Mesir yang kebanyakkannya adalah dari duit poket keluarga pelajar sendiri.
Nisbah doktor kepada pesakit masih tidak dapat diperbaiki
walaupun berlaku pertambahan doktor yang ramai. Lambakan houseman menyebabkan pelbagai isu yang merangkumi  keberkesanan latihan dan pembentukan jatidiri. Akhirnya isu ini juga berkait dengan isu penjagaan dan rawatan pesakit secara menyeluruh. Pelbagai usaha dilakukan untuk memastikan houseman dapat menerima latihan yang mencukupi dan menjadi doktor yang kompeten dan berdikari.
Ada beberapa isu yang dapat dilihat berkaitan dengan masalah lambakan houseman ini. Kurang Latihan dikalangan houseman menjadi salah satu faktor masalah ini terjadi. Kewujudan houseman yang terlalu ramai di dalam satu jabatan pada masa yang sama, di mana ada jabatan yang bilangan houseman mencecah 100 orang menyebabkan peluang untuk mendapatkan latihan semakin berkurangan. Jumlah pesakit yang dilihat dan dirawat serta peluang untuk belajar dan membantu prosedur juga sangat sedikit.
Walaupun masa latihan dilanjutkan kepada 2 tahun, selepas habis houseman, masih ramai doktor yang kurang cekap dan kompeten. Penilaian di akhir penempatan dalam setiap jabatan (minimum 4 bulan) dilakukan untuk membuat penilaian secara objektif tahap pengetahuan dan kompetensi setiap houseman. Ramai yang tidak melepasi standard dan harus dilanjutkan lagi. Kemudian sistem shif diperkenalkan untuk cuba mengatasi masalah ini, tetapi masa bekerja yang lebih pendek dan tiada kesinambungan rawatan pesakit menyebabkan masalah kompetensi dan pengetahuan masih menjadi isu di akhir penempatan.
Masa menunggu untuk mendapatkan tempat bekerja juga yang terlalu lama menjadi faktor kedua lambakan houseman ini. Apabila terlalu ramai houseman di dalam satu jabatan dan hospital, penempatan menjadi penuh. Pelajar perubatan yang lulus peperiksaan ikhtisas akhir, perlu menunggu 6 bulan hingga lebih dari setahun sebelum dapat masuk menjalani latihan sebagai houseman. Belum lagi ditambah dengan houseman yang sedia ada di hospital dilanjutkan masa penempatan kerana masih kurang pengetahuan dan tidak kompeten.
Ini menyebabkan bakal houseman harus menunggu lebih lama sebelum dapat memulakan latihan. Doktor adalah profesion yang memerlukan latihan dan pembelajaran berterusan. Akibatnya, apabila mereka memasuki penempatan pertama, masa yang diambil untuk beradaptasi dengan suasana kerja menjadi lebih lama hingga ada yang mengambil keputusan berhenti atau diberhentikan kerana stress yang melampau dan tidak dapat mencapai tahap pengetahuan dan kompetensi dalam masa yang ditetapkan.
Ada juga yang hilang minat atau sejak dari awal lagi menjadi doktor kerana memenuhi cita-cita ibu bapa. Ini adalah satu
kerugian besar kepada negara. Sistem kontrak yang diwujudkan bagi menyelesaikan masalah lambakan houseman dilihat pada akhirnya menjadi mimpi ngeri dan ketidakadilan kepada doktor-doktor muda ini. Dengan sistem kontrak, tiada jaminan selepas habis latihan houseman, mereka akan ditempatkan di hospital tertentu atau dengan kata lainnya tiada jaminan pekerjaan kepada mereka.
Selepas berhempas pulas belajar selama 5 hingga 7 tahun, masih tiada jaminan masa depan bagi mereka. Lebih menyedihkan lagi , ada antara mereka belajar dengan biayaan ibu bapa sendiri sehingga ada yang bergolok bergadai demi memastikan anak mereka boleh menjadi seorang doktor. Peluang untuk sambung belajar ke peringkat yang lebih tinggi juga semakin sukar kerana selagi tidak dapat dimasukkan ke sistem tetap, mereka tidak layak memohon untuk sambung belajar.
Ada yang bernasib baik dapat diserap ke hospital universiti
sebagai langkah awal, tetapi jumlahnya adalah terhad. Isu ini sudah terlalu lama dan masih tiada solusinya. Pertambahan institusi-institusi swasta yang menyediakan kursus perubatan tanpa kawalan adalah satu faktor penyumbang besar
kepada masalah ini. Ditambah lagi dengan penghantaran pelajar-pelajar perubatan ke universiti luar negara dengan belanja sendiri. Graduan perubatan bertambah tetapi jumlah
penempatan masih tidak dapat menampung kebanjiran yang ramai.
Kebanyakkan institusi swasta yang menyediakan kursus perubatan tiada hospital sendiri untuk pelajar-pelajar mereka
belajar, berlatih dan menyediakan diri untuk memahami kehidupan sebagai seorang doktor. Kesannya apabila mula bekerja sebagai seorang houseman, mereka mengalami kejutan
budaya dan susah untuk menyelami profesion ini. Masa menunggu yang lama sebelum diberi penempatan menerukkan lagi keadaan. Tanpa jati diri dan semangat yang kuat, sukar untuk mereka mengharungi masa yang sukar sebagai doktor pelatih.
Menempatkan mereka di klinik-klinik swasta juga memerlukan kawalan yang ketat. Tanpa latihan yang mencukupi mereka tidak akan mampu merawat pesakit dengan baik dan membantu sistem kesihatan menjadi lebih baik. Sangat penting untuk doktor-doktor yang berada di dalam sistem kesihatan primer mempunyai pengetahuan dan kompetensi yang cukup supaya mereka boleh merawat pesakit dengan baik dan merujuk kes apabila
diperlukan.
‘Houseman Prepatory Course’ adalah salah satu usaha daripada beberapa universiti dan NGO seperti PAPISMA (Persatuan Perubatan Ibnu Sina Malaysia) bagi menyediakan graduan perubatan dengan pengetahuan dan latihan sebelum mereka memulakan latihan sebenar di hospital-hospital. Sayangnya program ini tidak diwajibkan dan tidak dinasionalkan. Masih ramai doktor -doktor yang memulakan latihan houseman tanpa
persediaan.
Ramai antara mereka yang bekerja di bidang yang tidak berkaitan demi memenuhi masa lapang atau demi mencari rezeki sebelum mendapat penempatan. Hanya sebilangan yang bernasib baik dan ada kesedaran untuk mencari latihan sendiri di premis-premis swasta atau mengikut projek berkaitan dengan perubatan.
Ada pihak yang menyalahkan houseman dan generasi mereka yang lemah. Namun mereka adalah masa depan kita, yang akan menjadi pelapis doktor dan pakar-pakar yang akan merawat kita di masa akan datang. Satu cabaran untuk doktor-doktor yang lebih senior untuk melatih mereka disamping tugas-tugas merawat pesakit. Masih ramai di antara mereka yang
ikhlas dan bercita-cita untuk menjadi doktor yang baik dan membantu pesakit.
Langkah drastik dan berkesan perlu diambil supaya kehidupan houseman ini terjamin dan mereka dapat membantu sistem kesihatan menjadi lebih baik.
Disclaimer: Penulis pernah terlibat dengan urusan mengawalselia houseman dan penilaian kompetensi mereka dan juga menjadi tenaga pengajar sambilan di salah satu institusi swasta
yang menyediakan kursus perubatan.
Ms Afizah Salleh,
Pakar perunding Pembedahan Am
Hospital Pakar Annur,
Ahli WARAK Writers Pool, PAPISMA.
Dr Aspalilah Alias
Pensyarah Anatomi
Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA).