Home Nasional Kertas siasatan Najib ingkar SOP dirujuk ke Bukit Aman hari ini

Kertas siasatan Najib ingkar SOP dirujuk ke Bukit Aman hari ini

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah pada sidang media pada Ops Sarang di Jalan Raja Bot, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 29 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Polis sudah melengkapkan siasatan berhubung  kegagalan Datuk Seri Najib Razak memasuki sebuah restoran tanpa mengimbas kod MySejahtera dan merekodkan suhu badan.

Kertas siasatan itu akan dirujuk kepada Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman pada hari ini untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, selepas ia dipersetujui D5, ia akan dirujuk kepada Peguam Negara dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut.

“Kita sudah melengkapkan kertas siasatan kes Datuk Seri Najib  Razak yang mengaku ingkar prosedur operasi standard (SOP)  pematuhan PKP dan makan di restoran tanpa mengimbas dan merekodkan suhu badan.

“Ia akan dirujuk ke D5 Bukit Aman hari ini juga untuk arahan lanjut dalam kes ini.

“Jika dipersetujui D5, ia akan dikemukakan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut, iaitu jika diarahkan mengeluarkan kompaun kita akan melaksanakannya.

“Dulu Tan Sri Annuar Musa pun telah dikompaun juga atas pelanggaran SOP PKP,” tegasnya kepada pemberita ketika ditanya perkembangan siasatan kes tersebut.

Mohamad Zainal pada 20 Mac lalu menjelaskan kertas siasatan ke atas bekas perdana menteri itu dibuka di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) 2021.

Ia susulan video tular di media sosial yang menunjukkan Najib  melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah restoran di Jalan Bukit Bintang hingga menerima pelbagai reaksi awam.

Najib juga mengakui beliau melanggar SOP di restoran tersebut dan mahu dikenakan kompaun.- MalaysiaGazette