PUTRAJAYA – Penangguhan pelaksanaan Pendaftaran Automatik dan Undi 18 kepada Septermber 2022 oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menimbulkan keraguan umum.
Pengerusi Keilmuan Nasional, Zambri Mohd Isa mednakwa, tindakan SPR itu dilihat tidak komited dalam melaksanakan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang diluluskan di Parlimen sebelum ini.
Menurutnya, kenyataan SPR minggu lalu bercanggah dengan kenyataan menteri bahawa pemilihan secara automatik itu boleh dilaksanakan Julai tahun ini.
“Kita lihat ada percanggahan menteri kata A, SPR kata B dan perkara itu buat kita khuatir sama ada serius atau tidak untuk melaksanakan Undi 18 ini.
“Mereka juga gagal mengemukakan laporan interim pada kami dan orang awam mengenai kaedah pelaksanaan Undi 18,” katanya selepas menghantar memorandum kepada SPR di sini hari ini.
Tambah Zambri, SPR juga tidak pernah memanggil mana-mana NGO belia dalam libat urus Undi 18 dan meminta untuk melantik mereka menganggotai ahli jawatankuasa khas pelaksanaan tersebut.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan meminta rakyat dan ahli politik bersabar untuk pelaksanaan pemilihan secara automatik dan Undi 18.
Sementara itu, Ketua Aktivis Majlis Belia Malaysia (MBM), Fahami Ashrof Badaruddin pula berkata, walaupun kerajaan meminta rakyat untuk bersabar namun perkara itu perlu ada tindakan segera.
“Kita tidak mahu lihat perkara ini ditangguhkan dan hanya berdiam diri untuk kelihatan selesai kerana banyak kali kami berdepan dengan isu berbangkit namun tiada penyelesaian dan itu yang terjadi di Malaysia.
“Kami juga menerima maklum balas golongan belia bahawa mereka bersedia untuk melaksanakan tanggjungjawab. Justeru, saya berharap keseriusan pihak kerajaan dalam menyelesaikan perkara ini dapat dilakukan dengan segera,” katanya.
Sebelum itu, beberapa pemimpin NGO belia membabitkan Majlis Belia Negara (MBM), Gerakan Belia 4b, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) hadir ke Ibu Pejabat SPR bagi menyerahkan memorandum kepada suruhanjaya itu bagi mendesak Undi 18 dilaksanakan mengikut tarikh yang dijanjikan.
Dalam pada itu, SPR juga didesak untuk mengeluarkan laporan perkembangan pelaksanaan pemilik automatik secara berkala bagi memastikan ia berjalan dengan lancar dan bersistematik agar rakyat dapat membuat penilaian.
Pada 25 Mac lalu, SPR mengumumkan penangguhan pelaksanaan pemilih automatik dan Undi 18 sehingga September 2022 selepas menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang menjejaskan perancangan dan persiapan awal SPR. – MalaysiaGazette