KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Wilayah, Datuk Seri Dr Santhara Kumar kembali bertugas setelah selesai kuarantin wajib di rumah selepas pulang dari New Zealand.
Dalam laman sosial Facebook Batu Kembali Bersatu, Santhara yang juga Ahli Parlimen Segamat melawat lokasi kebakaran dipercayai rumah setinggan di Kampung Medan Wira Utama, Batu, di sini.
Sebanyak lima buah keluarga terjejas ekoran insiden kebakaran itu.
Santhara berkata, pihaknya masih menunggu laporan bancian dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta bomba sebelum sebarang tindakan susulan diambil.
“Kita sedang tunggu laporan terperinci sebelum apa-apa tindakan susulan, sekiranya mangsa adalah warganegara Malaysia, kita akan memberikan mereka sedikit bantuan kewangan juga lain-lain bantuan dari agensi kerajaan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Tambahnya, beliau akan mengkaji kelayakan mangsa untuk mendapat bantuan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) manakala bagi mangsa bukan warganegara pihaknya akan menghubungi kedutaan untuk mendapatkan bantuan. -MalaysiaGazette