PUTRAJAYA – Kaedah pemberian vaksin dari rumah ke rumah seperti dicadangkan sebelum ini dikhuatiri bakal mencetuskan tanggapan mengerikan kepada masyarakat.
Justeru Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dilaksanakan adalah secara sukarela.
Katanya, orang ramai disediakan saluran tertentu bagi mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin sebelum diberikan janji temu untuk mendapatkan suntikan pelalian.
“Bayangkan kalau kita ketuk pintu rumah ke rumah, siap dengan picagari dan jarum, ia akan beri mesej yang agak mengerikan, silap-silap orang takut nak buka pintu.
“Justeru, kita utamakan kaedah pendaftaran dari rumah ke rumah dan apabila selesai proses itu, mereka akan dikehendaki untuk ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang tertentu,” jelasnya pada sidang media Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) di sini hari ini.
Sementara itu, Khairy Jamaluddin memaklumkan pemberian vaksin kepada bakal jemaah haji hanya akan dibuat selepas kerajaan Arab Saudi membuat keputusan rasmi berhubung pelaksanaan semula ibadat berkenaan pada tahun ini.
Menurutnya, Lembaga Tabung Haji (TH) akan mengemukakan permohonan dan senarai bakal jemaah haji mengikut jadual.
Katanya, Malaysia masih menanti keputusan muktamad daripada Arab Saudi bagi mewajibkan pengambilan suntikan vaksin dalam kalangan bakal jemaah haji.
“Bila ia wajib, maka kita akan bekerjasama dengan TH dan teliti senarai bakal jemaah yang diluluskan untuk mengerjakan ibadat haji tahun ini.
“Bakal jemaah haji ini akan diberikan keutamaan dalam pemberian vaksin,” katanya. – MalaysiaGazette