Home Politik Wanita UMNO ikrar setia, sanggup berkorban untuk parti

Wanita UMNO ikrar setia, sanggup berkorban untuk parti

Ketua Penerangan Wanita UMNO, Norshida Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Bangsa Melayu seperti sebuah rumah di mana UMNO adalah penukangnya dan semua penghuni tanpa mengira kaum dan agama serta fahaman politik dijaga dengan penuh rasa amanah dan tanggungjawab.

Ketua Penerangan Wanita UMNO, Norshida Ibrahim berkata, walaupun parti dikritik, difitnah, dihina, ditohmah tetapi UMNO tidak pernah jemu memperjuangkan politik bangsa.

Tegas beliau, Wanita UMNO tidak berjuang semata-mata kerana cerita sejarah tentang siapa mereka namun berjuang kerana tanggungjawab untuk mengisi dan mempertahankan parti

“Kita tidak boleh terikut-ikut dengan politiking yang mendadak dalam parti sehingga menghancurkan UMNO.

“Sebaliknya, Wanita UMNO sebagai tulang belakang UMNO seharusnya lebih fokus pada agenda parti serta tenang dalam apa jua keadaan.

“Sekiranya tulang belakang iaitu Wanita UMNO retak atau senget, maka goyahlah UMNO secara keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Norshida menambah, Wanita UMNO perlu memperkukuhkan kedudukannya sebagai tunjang UMNO dalam menghadapi dugaan dan cubaan dunia politik semasa terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Sehubungan itu, ujar beliau, Wanita UMNO berikrar setia bersama parti dan sanggup mengorbankan apa jua kedudukan, pangkat untuk membuktikan kesetiaan kami kepada perjuangan parti keramat ini. – MalaysiaGazette