Home Sukan 84 peserta tamat kursus jurulatih bina badan

84 peserta tamat kursus jurulatih bina badan

Kursus Kejurulatihan Spesifik Sukan Bina Badan Tahap 1 anjuran Persekutuan Bina Badan Kuala Lumpur .

KUALA LUMPUR – Seramai 84 peserta berjaya menamatkan Kursus Kejurulatihan Spesifik Sukan Bina Badan Tahap 1 selama empat hari yang berakhir kelmarin.

Kursus yang berlangsung di Pusat Belia Cheras (IYC) itu anjuran Persekutuan Bina Badan Kuala Lumpur (PBBKL).

Presiden PBBKL, Krishna Kumar berkata, kurus itu bertujuan untuk membangunkan pelapis jurulatih yang lebih mahir dan bertauliah dalam bidang kesukanan bina badan pada masa akan datang.

“Selaras dengan aspirasi building tomorrow’s trainers today kursus ini dilengkapi dengan pelbagai modul bertujuan untuk melahirkan jurulatih yang berwibawa dan mampu menjana prestasi dan produktiviti yang tinggi melalui amalan budaya kerja cemerlang.

“Ia juga bertujuan untuk memperkukuhkan pengetahuan jurulatih ke arah membangunkan atlet bina badan dan fizikal berkualiti di negeri ini,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) turut dijemput untuk memberi ceramah mengenai Anti-Doping kepada para peserta.

Kumar memberitahu, pada kursus tersebut, Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) turut dijemput untuk memberi ceramah mengenai Anti-Doping kepada para peserta.

Jelas beliau, ia bagi memberi memberi pendedahan dan pengetahuan mengenai suplemen yang boleh diamalkan oleh golongan atlet.

“Kursus ini sepatutnya diadakan pada tahun lalu namun kemudiannya dibatalkan disebabkan faktor berkaitan situasi Covid-19 yang semakin buruk di negara ini.

“Namun gembira dapat menyelesaikan kursus itu, dengan semua peserta mengikuti Prosedur Operasi Standard.

“Kami juga akan meneruskan kursus yang sama selepas Hari Raya Aidilfitri nanti memandangkan sambutan yang menggalakkan daripada para peserta,” katanya lagi.

Sementara itu, Kursus Kejurulatihan Spesifik Sukan Bina Badan Tahap 1 turut mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan, Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Institut Sukan Nasiona; Persekutuan Bina Badan Malaysia dan IYC.

Antara penaja yang terlibat adalah Enrich Fitness, Gorilla, Dietmoster, Pro Feat, Nutration Pro dan Padu Gear. – MalaysiaGazette