KUALA LUMPUR – Arahan bekerja dari rumah (WFH) bagi sektor awam dan swasta terbatal bermula 1 April 2021, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri.
Beliau berkata, kadar kehadiran pekerja bagi sektor swasta termasuk industri perkilangan perkilangan yang dibenarkan adalah 100 peratus.
Mengulas lebih lanjut Ismail berkata, keputusan iniĀ akan dapat memberi peluang operasi kerja dilaksanakan secara maksimum, khususnya bagi industri perkilangan.
“Sidang khas (Majlis Keselamatan Negara) bersetuju cadangan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkenaan pembatalan syarat pematuhan 30 peratus iaitu WFH (Work Frome Home / bekerja dari rumah) bagi pihak pengurusan dan penyelia sesebuah syarikat di atas beberapa justifikasi.
“Antaranya, arahan WFH untuk perkilangan sukar dilaksanakan kerana operasi tidak dilakukan secara remotely, operasi perkilangan melibatkan proses kompleks dan teknikal dengan kehadiran pasukan berbeza terdiri daripada kakitangan pengurusan dan penyelia pada masa yang sama dikehendaki bekerja serentak.
“Mengenai sektor swasta pula adalah dibenarkan 100 peratus bagi pengurusan, penyelia dan operasi dan sokongan,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.
Bagi pekerja perkhidmatan awam pula, Ismail berkata, kapasiti kehadiran adalah berdasarkan pekeliling yang bakal dikeluarkan.
Katanya, maklumat lanjut mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) boleh dirujuk menerusi laman sesawang MKN.-MalaysiaGazette