KUALA LUMPUR – Bin Zayed International (BZI) LLC) mensasarkan untuk membawa masuk pelaburan langsung asing (FDI) bernilai RM100 bilion ke Malaysia dalam beberapa tahun akan datang, dengan fasa permulaan melalui pembangunan Widad@Langkasuka.
BZI peneraju konglomerat dimiliki oleh Sheikh Khaled bin Zayed Al Nahyan, yang merupakan ahli keluarga tertua di dalam keluarga Diraja Abu Dhabi adalah ahli perniagaan terkemuka di negara Teluk.
Beliau memiliki kepentingan dalam pelbagai cabang perniagaan tempatan dan antarabangsa di mana ia merangkumi pengurusan hartanah dan pembinaan kediaman serta menara dan bangunan-bangunan komersial.
Di dalam surat rasmi kepada Perdana Menteri Malaysia, BZI melahirkan hasrat untuk melabur di negara ini melalui kerjasama eksklusif dengan Widad Business Group.
”Selepas beberapa mesyuarat produktif dan perbincangan lanjut, WBG dan BZI secara bersama amat berbangga untuk memaklumkan kepada Perdana Menteri bahawa kami bersetuju menubuhkan sebuah entiti kerjasama di Malaysia secara khususnya bagi pembangunan projek di Langkawi, Kedah iaitu Widad@Langkasuka.
”Kami amat yakin bahawa projek ini akan menjadi salah sebuah projek ikonik di Malaysia yang mana akan membawa Langkawi ke pengiktirafan global yang akan memberi kebanggaan kepada seluruh rakyat Malaysia,” kata Pengarah Urusan Kumpuan BZI, Sheikh Midhat Kidwai.
Menurutnya, BZI juga berhasrat untuk menguasai atau melabur lebih banyak di dalam projek infrastruktur dan juga konsesi.
Kekuatan kemasukan aliran tunai ini akan membantu bagi meningkatkan pemulihan ketara khususnya bagi ekonomi Malaysia dan juga mewujudkan lebih dari 30,000 peluang pekerjaan, tambahnya. – MalaysiaGazette